IPOH – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 16 tahun pada Januari lalu.
Tertuduh, Muhammad Faiz Zaini, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Jean Sharmila Jesudason.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa telah menyentuh mangsa berusia 16 tahun dengan menyentuh kemaluan, mencium pipi dan meraba bahagian badan bagi maksud seksual sekitar jam 7.15 malam, 20 Januari lalu.
Manakala, untuk pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah menyentuh mangsa yang sama dengan meraba dada mangsa bagi maksud seksual dan perbuatan itu dilakukan pada jam 2.30 pagi, 21 Januari 2025.
Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Seri Rapat, Ipoh.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu’aini Khalifah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh, namun mencadangkan jumlah RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai serta melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan.
Dalam prosiding yang sama, Muhammad Faiz yang tidak diwakili peguam merayu supaya jumlah wang jaminan dikurangkan.
Menurutnya, dia yang bekerja sebagai jurulatih badminton hanya memperoleh pendapatan RM700 sebulan, di samping menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan.
Selain itu, tertuduh turut memberikan wang nafkah sebanyak RM500 setiap bulan kepada dua anaknya yang kini di bawah jagaan bekas isterinya di Kedah.
Dia yang juga pemegang kad OKU mental memaklumkan telah tiga kali mendapatkan rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) di Tanjung Rambutan.
Qurratu’aini kemudiannya memohon tertuduh untuk menjalani pemeriksaan mental di HBUK mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Mahkamah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya supaya tertuduh menjalani pemeriksaan mental di HBUK serta menetapkan 12 Mac depan untuk sebutan semula kes. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Guru penolong kanan mengaku tidak bersalah amang seksual murid