IPOH – Tujuh lelaki yang memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan pihak polis menerusi Operasi Bersepadu Ambang Tahun Baharu 2025 Kontinjen Perak di seluruh negeri awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, kesemua individu terbabit yang berusia antara 25 hingga 51 tahun itu ditahan dalam operasi yang dijalankan di Ipoh, Taiping dan Manjung.
Menurutnya, hasil ujian pernafasan awal mendapati kepekatan alkohol dalam tubuh kesemua lelaki yang ditahan melebihi hadi yang ditetapkan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Menerusi operasi yang dijalankan di seluruh negeri, polis telah melakukan pemeriksaan ke atas 1,687 orang pengguna jalan raya, dan daripada jumlah itu tujuh daripada mereka didapati memandu dalam keadaan mabuk.
“Selain itu, turut ditahan lima lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga Bangladesh di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, awal pagi tadi.
Selain itu Zulkafli berkata, sebanyak 1,625 kenderaan diperiksa dengan 840 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh operasi dijalankan.
Kata beliau lagi, polis turut melaksanakan tindakan terhadap 22 motosikal, dua buah kereta dan sebuah lori.
“Kesalahan membabitkan tiada lesen memandu merekodkan jumlah kesalahan tertinggi dengan 117 saman diikuti kesalahan membabitkan nombor pendaftaran kenderaan dengan 100 saman.
“Selain itu, juga direkodkan 86 saman bagi tiada insurans atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, halangan lalu lintas (83) dan ekzos serta ubah suai kenderaan (60),” jelas beliau.
Menurut Zulkafli, operasi terbabit terbahagi kepada dua fasa yang mana fasa pertama melibatkan melancarkan perjalanan orang ramai yang menyambut ambang tahun, manakala fasa kedua pula bagi mengesan kesalahan jenayah dan lalu lintas dilakukan pengguna jalan raya.
“Orang ramai terutama pemandu dinasihatkan untuk memastikan diri tidak memandu dalam keadaan mabuk.
“Begitu juga kepada ibu bapa, mereka diminta untuk sentiasa memantau aktiviti anak-anak supaya tidak membenarkan mereka terlibat dengan sebarang aktiviti tidak sihat seperti berlumba haram dan sebagainya,” katanya.
Ujar beliau, operasi bermula pada jam 12.01 tengah malam hingga 6.30 pagi itu disertai seramai 36 pegawai kanan polis dan 187 anggota. – MG Perak
Artikel Berkaitan: