OP Global: 171 individu direman seminggu – KPN

PETALING JAYA – Kesemua 171 tangkapan yang dibuat di rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan menerusi Op Global direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan eksploitasi 402 kanak-kanak.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis sedang bekerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi bagi melengkapkan kertas siasatan.

Katanya, siasatan diteruskan bagi mengkaji tindakan yang boleh diambil terhadap mereka yang terlibat, khususnya daripada segi pendidikan

“Kita semua sedia maklum bahawa yang berumur ini sepatutnya bersekolah, tetapi tidak ke sekolah dan dia ada pendidikannya sendiri, kita mungkin akan berhubung dengan kementerian pendidikan juga untuk mendapatkan bantuan dalam siasatan kes ini.

“Apabila dia buka rumah amal ini, kononnya untuk anak yatim, kita juga mahu melihat adakah rumah amal ini didaftarkan atau sebaliknya dan itu semua siasatan kitalah, daripada situ juga mungkin ada kesalahan-kesalahan lain yang kita boleh lihat lagi, akan ada saksi-saksi yang akan tampil (beri keterangan) bantu siasatan nanti,” katanya.

Semalam, Razarudin berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah menggempur 20 buah premis yang disyaki mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat tempatan menjalankan pelbagai perniagaan di Malaysia dan beberapa negara lain.

Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan seramai 171 individu, termasuk 105 wanita berusia lingkungan 17 hingga 64 tahun yang dipercayai berperanan sebagai penyelia dan penjaga di premis tersebut.

Siasatan ke atas kesemua tahanan itu dilaksanakan di bawah Akta Kanak-kanak 2001 [Akta 611], Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 [792], Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 ATIPSOM [Akta 670] Kanun Keseksaan [Akta 574] dan undang-undang lain yang sedang berkuat kuasa.

Menurut Razarudin, kesemua mangsa kanak-kanak yang diselamatkan masih berada dalam proses dokumentasi dan pemeriksaan kesihatan.

“Kita rasakan perlu untuk kita ambil DNA sebab bapa-bapa mereka kita tahu adalah ahli-ahli GISB itu sendiri, dan tentang aspek kesihatan dan kebajikan, agensi-agensi sahabat seperti Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memang sentiasa ada dengan kita ditempatkan di Pulapol.

Tambah beliau, premis rumah amal yang diserbu semalam kini ditutup buat sementara waktu dan berkemungkinan disita selepas ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI