IPOH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan sebanyak 12 notis hasil pemeriksaan ke atas 119 bas ekspres dalam Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2026 di Perak sejak Jumaat hingga Isnin.
Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, pemeriksaan dilakukan di depoh dan terminal bas, selain penyamaran anggota sebagai penumpang kenderaan berkenaan pada sepanjang operasi itu berlangsung.
Katanya, antara kesalahan yang dikesan adalah pemandu bas positif dadah, penumpang tidak memakai, pemandu bas memandu di lorong kanan secara berterusan serta tiada pemandu kedua bagi jarak lebih 300 kilometer (km).

“263 anggota penguatkuasa telah digerakkan melibatkan 41 pasukan pemantauan di seluruh negeri dengan fokus kepada lebuh raya utama, jalan persekutuan serta terminal bas.
“Dalam operasi, kita turut menjalankan ujian saringan air kencing ke atas pemandu bas di terminal. Hasilnya, daripada 80 saringan yang dijalankan, seorang pemandu didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sidang Media Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2026 di Terminal Meru Raya di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut Mohammad Yusoff berkata, hasil penyamaran beliau bersama tiga pegawai operasi mendapati kesalahan yang dikesan adalah ketiadaan pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300 km atau empat jam.
Jelas beliau, kegagalan dalam mematuhi peraturan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Kaedah 10 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Saya dan tiga pegawai operasi telah membuat penyamaran sebagai penumpang bas dan telah menaiki bas dari Pulau Pinang ke Ipoh bagi memantau secara langsung tahap pematuhan pemandu dan pengguna terhadap peraturan dan aspek keselamatan sepanjang perjalanan.
“Secara prinsipnya, banyak kenderaan mematuhi perundangan yang ditetapkan, malah pemeriksaan daripada empat kenderaan mendapati hanya sebuah bas melakukan kesalahan iaitu tiada pemandu kedua,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, sebanyak lapan kenderaan barangan dan berat dikenakan tindakan sitaan selepas didapati gagal mematuhi Tempoh Larangan Kenderaan Barangan atau ‘Road Ban’ iaitu larangan berada di atas jalan raya pada waktu yang tidak dibenarkan.
Jelas Mohammad Yusoff, tindakan terhadap lapan kenderaan itu diambil sepanjang tempoh penguatkuasaan Road Ban sempena sambutan Tahun Baharu Cina, iaitu pada 14 hingga 15 Februari lalu.
“Selain itu, JPJ Perak turut melaksanakan Op Motosikal dengan menjalankan pemeriksaan ke atas 1,976 buah motosikal. Daripada jumlah itu, sebanyak 248 buah motosikal diambil tindakan dengan 10 buah motosikal disita.
“Berdasarkan rekod, sebanyak 1,109 notis saman telah dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya sehingga Ahad.
“Kesalahan tertinggi direkodkan melibatkan kegagalan memakai topi keledar dan tali pinggang keledar, tidak mematuhi isyarat lalu lintas serta membawa muatan secara berbahaya,” jelasnya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


