Op Tapis Khas Perak: 413 termasuk 14 warga asing ditahan

IPOH – Seramai 413 individu, termasuk 14 wanita, ditahan dalam tempoh tiga hari menerusi Op Tapis Khas Kontinjen Perak yang diadakan bagi melumpuhkan aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan dadah di sekitar negeri ini.

Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, serbuan itu dilakukan di beberapa lokasi yang disyaki menjadi sarang penagih antaranya, ladang swasta, flat, jeti nelayan, skim Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA).

Menurutnya, operasi yang bermula 13 Oktober dan berakhir Rabu lalu itu melibatkan 270 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), balai polis dan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Tangkapan itu turut melibatkan 14 warga asing terdiri daripada warga Indonesia, Thailand, Nepal, China dan Kemboja serta kesemua suspek ditahan berusia antara 18 hingga 65 tahun.

“Daripada jumlah tangkapan, 53 individu ditahan kerana mengedar dadah, 128 orang kerana kesalahan memiliki dadah, manakala 224 orang disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Tiga lagi ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan lima orang yang dikehendaki turut ditangkap dalam operasi itu,” katanya.

Op Tapis Khas Perak: 413 termasuk 14 warga asing ditahan
Timbalan Ketua Polis Perak, DCP Mohammad Azlin Sadari menunjukkan rampasan bungkusan dadah ketika sidang media berhubung Op Tapis Khas di pekarangan Kompleks Latihan Sukan IPK Perak, Ipoh, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 17 OKTOBER 2025.

Beliau berkata demikian pada sidang media kejayaan Op Tapis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Kompleks Latihan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Jalan Pasir Puteh, di sini pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, Mohammad Azlin turut memaklumkan bahawa lima penagih tegar turut diberkas di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM87,660.89 meliputi 2.6 kilogram, heroin, 92.76 gram syabu, 0.004 liter cecair syabu, 13.7 kilogram ganja, 3.11 gram ketamin, 2 kilogram daun ketum, 22.2 liter cecair ketum, 89 biji pil Erimin 5 dan 35 biji pil Yaba.

“Turut disita dalam operasi tersebut ialah sebuah kereta, empat motosikal dan wang tunai berjumlah RM24,871,” ujarnya.

Katanya, kejayaan tersebut adalah hasil risikan berterusan polis dengan kerjasama orang awam.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran, memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah yang merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Video tular: Polis kesan empat suspek terlibat kes pemerasan keluarga

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI