Op Tapis Khas: Warga Ukraine antara lebih 500 ditahan

IPOH – Seorang warga Ukraine antara 546 individu yang ditahan polis dalam operasi membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah di seluruh negeri Perak yang berlangsung selama tiga hari, bermula 11 Ogos lalu.

Operasi ‘Op Tapis Khas’ yang dijalankan serentak di seluruh negeri itu melibatkan kekuatan 270 pegawai dan anggota polis dengan bantuan 10 pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, operasi memberi tumpuan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti sebagai sarang penagih seperti ladang sawit, rumah pangsa, jeti nelayan dan sebagainya.

“Daripada jumlah keseluruhan tangkapan, mereka terdiri daripada 536 lelaki manakala 10 wanita, dengan kesemuanya berusia antara 19 hingga 65 tahun.

“Selain warganegara tempatan termasuk Orang Asli, tangkapan turut melibatkan 22 warga asing iaitu empat warganegara Indonesia, Thailand (dua), Myanmar (lima), Kemboja (10) dan seorang warga Ukraine,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Noor Hisam berkata, daripada keseluruhan tangkapan berkenaan, 72 orang ditahan atas kesalahan pengedaran dadah, 153 memiliki dadah, serta 317 penagih disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Pada masa sama empat orang ditahan di bawah Seksyen Seksyen 3(1) akta sama (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

“Selain itu, lapan individu yang dikehendaki polis turut diberkas sepanjang operasi, manakala 16 penagih tegar akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39C ADB 1952,” ujar beliau.

Tambah beliau dalam Op Tapis Khas itu, polis turut berjaya merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan RM253,471.

Kata beliau, ia melibatkan 209.38 gram heroin; 214.68 gram syabu; 26.19 gram ganja; 255.54 gram ketamin; 283.61 gram pil Erimin 5; 39.49 gram pil ekstasi; 15.5 kilogram (kg) daun ketum serta 53.6 liter cecair ketum.

Tambah Noor Hisam, turut disita ialah lima motosikal dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM30,876.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama yang berterusan antara masyarakat dengan agensi penguatkuasaan khususnya pihak polis.

“Justeru, orang ramai diseru untuk terus menyalurkan sebarang informasi berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah agar tindakan pembanterasan dapat terus dipertingkatkan bagi memastikan Perak bebas daripada ancaman ini,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Tiga sahabat dilepas, dibebaskan daripada tuduhan edar dadah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI