OPA: Paras Empangan Bukit Merah meningkat namun masih kritikal

IPOH – Paras bacaan air Empangan Bukit Merah mencatatkan peningkatan daripada 6.03 meter kepada 6.096 meter setakat pagi tadi, susulan Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang menghasilkan hujan di beberapa kawasan terbabit semalam.

Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Perak memaklumkan kapasiti simpanan empangan turut meningkat daripada 6.65 juta meter padu (12.2 peratus) kepada 7.25 juta meter padu (13.31 peratus).

“Bagaimanapun status semasa empangan masih di tahap aras henti bekalan pengairan seperti yang ditetapkan dalam Standard Operasi Prosedur (SOP) sedia ada.

“Peningkatan simpanan kolam empangan ini sedikit sebanyak membantu memanjangkan tempoh bekalan air bagi keperluan domestik, namun bekalan air bagi tujuan pengairan ke Rancangan Pengairan Kerian masih belum dapat dimulakan semula,” menurut jabatan berkenaan dalam kenyataan hari ini.

Semalam, OPA diketuai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia dilaksanakan di beberapa kawasan terjejas akibat cuaca panas termasuk di Empangan Bukit Merah yang mengalami penyusutan sejak Jun lepas.

Berikutan fenomena panas dan kering, empangan berkenaan telah mencapai aras henti bekalan pengairan pada 6.096 meter sejak 22 Julai lepas dan mengikut SOP pengendalian empangan, bekalan air ke sawah akan dihentikan sementara waktu bagi memberi laluan kepada bekalan air mentah.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI