KUALA KANGSAR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pemancing yang dikhuatiri lemas di Empangan Chenderoh, Jalan Sauk, Kampung Chenderoh, di sini semalam diteruskan pagi Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar, Ahmad Izuwan Zakaria berkata, pencarian melibatkan koordinasi antara pasukan yang terlibat sedang dilakukan di lokasi mangsa dilaporkan lemas.
“Seramai 54 orang terlibat dalam operasi SAR membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan nelayan darat.
“Sebanyak 18 bot milik BBP Lenggong, APM, TNB dan nelayan darat digunakan dalam operasi tersebut.
“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM juga sedang giat melakukan tinjauan dan size up bagi mengesan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan ringkas pagi ini.
Dalam kejadian petang semalam, mangsa yang hilang, Muhammad Khairul Rusydan, 30, bersama seorang rakannya, lelaki berusia 41 tahun karam selepas bot dinaiki mereka sewaktu melakukan aktiviti memancing dibadai ribut di empangan tersebut.
Bagaimanapun, rakan mangsa berjaya diselamatkan pemancing lain yang berdekatan, namun seorang lagi dikhuatiri lemas. – MG Perak
Artikel Berkaitan: