LARUT – Seorang operator jengkaut yang sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di bahu jalan terkejut apabila menemui mayat dalam keadaan reput bersama sebuah motosikal di dalam parit di tepi jalan Kampung Tanjung Lengkong, Rantau Panjang, Selama dekat sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Selama, Superintenden Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat tersebut sekitar jam 11.45 pagi.
“Setelah pemeriksaan dilakukan, terdapat mayat dalam keadaan reput berhampiran motosikal berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, semakan rekod pendaftaran mendapati, motosikal tersebut digunakan seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang pada 8 September lalu.
“Mayat tersebut telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Selama dan akan dibedah siasat esok (Rabu),” ujarnya.
Katanya, pihak polis masih menunggu keputusan bedah siasat daripada pihak forensik bagi mengesahkan identiti mayat tersebut.
Sebelum ini, seorang wanita warga emas berusia 60 tahun dilaporkan hilang dan dilihat kali terakhir pada 8 September lalu sekitar jam 5.45 petang berhampiran sebuah kedai makan di kawasan berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Disangka haiwan buruan, lelaki maut ditembak, tiga suspek ditahan