TAIPING – Seorang operator kilang terpaksa berputih mata selepas wang simpanan hampir setengah juta lesap selepas terpedaya dengan satu skim pelaburan tidak wujud dikenali sebagai S18-INVESTO Investment Club menerusi aplikasi WhatsApp dan media sosial.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, mangsa tampil membuat laporan polis pada jam 10.36 malam, pada Selasa selepas menyedari dirinya ditipu skim pelaburan berkenaan.
Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa dikatakan tertarik menyertai skim pelaburan itu selepas melayari Facebook dan kemudian menyertai satu kumpulan WhatsApp yang dikendalikan oleh suspek dikenali sebagai Ashley Tan.
“Mangsa telah berminat untuk menyertai skim pelaburan bernama yang kononnya beroperasi di bawah ‘Syarikat Investco’ yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
“Mangsa dijanjikan pulangan pelaburan yang tinggi berdasarkan kenaikan harga saham dan diminta memuat turun aplikasi dikenali sebagai IAMS FLC untuk memantau keuntungan.
“Sepanjang tempoh antara 16 Februari hingga 12 April lalu, mangsa telah melakukan 19 transaksi pindahan wang berjumlah RM449,100 ke dalam lima akaun bank berbeza,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Menurut Mohamad Nasir, mangsa turut diarahkan untuk tidak mengeluarkan wang pelaburan sehingga tempoh matang selama tiga bulan tamat.
Kata beliau, bagaimanapun selepas tempoh tersebut berakhir, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan, sementara mesej di aplikasi WhatsApp juga tidak lagi dibalas.
“Mangsa kemudian menghubungi pihak bank bagi mendapatkan penjelasan dan dimaklumkan bahawa pelaburan tersebut sebenarnya tidak wujud,” katanya lagi.
Mohamad Nasir berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan siasatan lanjut masih dijalankan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Polis tumpas skim penipuan pelaburan, rampas aset bernilai bilion ringgit