IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 219 tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai hampir RM47,000 dalam serbuan di tiga lokasi berasingan melalui Ops Gasak 2025, kelmarin.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan pertama dilakukan ke atas ladang ayam di Teluk Intan.
Menurutnya, Pegawai Penguat Kuasa KPDN Perak mendapati premis tersebut disyaki menyimpan LPG tanpa lesen atau permit yang digunakan untuk memanaskan anak-anak ayam di ladang tersebut.
“Ketika serbuan dilakukan, seorang lelaki warga tempatan berusia 66 tahun yang mengaku sebagai pengurus didapati gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada pengawal apabila diminta oleh pasukan pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, beliau berkata, dalam serbuan yang dijalankan di Ipoh dan Taiping, Pegawai Penguat Kuasa KPDN Perak telah menemukan dua buah lori bermuatan LPG, yang masing-masing dikesan berada di hadapan kedai biskut dan premis kediaman.
“Pemilik lori, seorang lelaki warga tempatan berusia 48 tahun telah ditahan dalam serbuan di Ipoh manakala seorang lelaki warga tempatan berusia 62 tahun turut ditahan ketika serbuan di Taiping.
“Kedua-duanya gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada Pengawal apabila diminta oleh pasukan pemeriksaan,” ujarnya.
Kamalludin berkata, susulan itu tiga tindakan kes telah diambil dengan menyita sebanyak 219 unit tong LPG berkapasiti 10 kilogram (kg), 12kg dan 14kg serta 2 buah lori dengan nilai sitaan keseluruhan yang dianggarkan RM46,995.30.
“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,“ jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KPDN Perak rampas lebih 2,000 unit cecair penyelenggaraan kenderaan tiruan