IPOH – Sebanyak 14,455 kenderaan telah dikenakan tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) atas pelbagai kesalahan bagi sepanjang tempoh pelaksanaan Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, ia hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas 172,479 kenderaan di seluruh negara yang merangkumi kenderaan persendirian, motosikal, kenderaan barangan, kenderaan perkhidmatan awam serta bas.
Katanya, sehingga 23 Mac, sebanyak 1,651 slip pemeriksaan JPJ telah dikeluarkan, manakala 289 kenderaan telah disita atas pelbagai kesalahan.

“Ia termasuk ke atas 43 kenderaan barangan yang didapati tidak mematuhi larangan pemanduan kenderaan barangan atau ‘roadban’ yang telah berkuat kuasa.
“Dalam tempoh yang sama, sebanyak 33,402 notis telah dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Ia termasuk notis JPJ(P)22, notis arah periksa serta notis temu siasat di bawah Seksyen 114,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Pemantauan Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2026 di Pusat Kawalan Menora, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), di sini, pada Isnin.
Hadir sama Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan.
Menurut Aedy Fadly, operasi berkenaan turut memberi tumpuan kepada kesalahan utama yang dikenal pasti sebagai antara penyumbang kepada kemalangan jalan raya di negara ini.
Kata beliau, berdasarkan kepada statistik semasa, terdapat tiga kesalahan tertinggi yang direkodkan iaitu tidak memakai tali pinggang keledar dengan 761 kes, membawa lebih muatan (353 kes) dan tidak mematuhi isyarat lalu lintas (317 kes).
Tambah beliau, antara kesalahan lain yang turut direkodkan adalah memotong di garisan berkembar dengan 81 kes, memandu di lorong kecemasan (124 kes), tidak memakai topi keledar (293 kes), memotong barisan (132 kes), menggunakan telefon bimbit ketika memandu (207 kes) serta membawa muatan secara bahaya (298 kes).

“Kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar masih menjadi kesalahan tertinggi dan oleh itu ia menjadi salah satu fokus JPJ dalam kita secara berterusan memberikan advokasi kepada orang awam.
“Kita mulakan kempen kesedaran berkaitan pemakaian tali pinggang keledar ini yang mana kita juga sudah perluaskan sehingga kepada penumpang-penumpang bas untuk diwajibkan memakai tali pinggang keledar,” katanya.
Ujar beliau, pendekatan penguatkuasaan yang tegas, bersepadu dan berteknologi tinggi akan terus diperkasakan bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan serta tahap pematuhan pengguna jalan raya.
“JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang ingkar terhadap undang-undang.
“Orang ramai diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat serta mengamalkan pemanduan berhemah sepanjang masa termasuk musim perayaan,” tegasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
JPJ Perak keluarkan 5,136 notis sepanjang Ops Khas Tahun Baharu Cina


