IPOH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak mengeluarkan sebanyak 112 notis kesalahan pada Operasi Khas Sembilan Kesalahan Utama di sini, pada Jumaat.
Timbalan Pengarah JPJ Perak, Mohd Azmi Jaafar berkata, pendekatan operasi dilaksanakan secara sekatan jalan raya melibatkan 107 kenderaan diperiksa serta membabitkan kekuatan 20 pegawai dan anggota.

Katanya, daripada keseluruhan jumlah yang dikeluarkan, kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar merekodkan jumlah tertinggi iaitu 25 kes dan selebihnya 87 kes.
“Daripada jumlah itu, 36 melibatkan motosikal, 40 kenderaan ringan dan selebihnya kenderaan lain.
“Setakat ini tiada sebarang kenderaan yang dikenakan tindakan disita,” katanya ketika ditemui pemberita sempena Operasi Khas Sembilan Kesalahan Utama di Jalan Kuala Kangsar-Jalan Sultan Azlan Shah dekat Tasek di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, operasi khas tersebut memberi tumpuan kepada sembilan kesalahan utama iaitu memotong barisan secara berbahaya, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan lorong kecemasan.
Turut diberi perhatian, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai topi keledar, tidak memakai tali pinggang keledar hadapan dan belakang serta memotong di lorong kanan secara berterusan.
Menurut Mohd Azmi, sebanyak 4,824 kesalahan jalan raya telah direkodkan JPJ Perak sepanjang tahun lalu dengan dua daripada sembilan kesalahan mencatatkan sebagai kes tertinggi.

Kata beliau, kes berkenaan adalah tidak memakai tali pinggang keledar hadapan dengan 2,191 kes serta gagal mematuhi peraturan lampu isyarat 1,066 kes.
“Dalam tempoh sehingga 15 Januari, sebanyak 167 kesalahan direkodkan di seluruh Perak dengan 103 melibatkan kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar hadapan, dan 14 menggunakan telefon bimbit semasa memandu,” ujarnya.
Jelas beliau lagi, pematuhan terhadap undang-undang dalam kalangan pengguna jalan raya amat penting bagi mengurangkan risiko kemalangan dan kematian di jalan raya.
“Operasi ini dilaksanakan bukan untuk menghukum semata-mata, tetapi sebagai pendekatan mendidik dan meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan keselamatan jalan raya,” tambah beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


