IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak terus meningkatkan penguatkuasaan harga barangan keperluan asas di lokasi tumpuan seluruh negeri sepanjang Ramadan dan menjelang perayaan Aidilfitri.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail, setakat ini sebanyak 9,253 premis telah diperiksa dengan nilai kompaun RM36,700 bagi 130 kesalahan menerusi Ops Pantau yang dilaksanakan bermula 19 Februari lalu sehingga semalam.
Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 109 kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu tidak meletakkan tanda harga dan 21 kes lagi di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 iaitu alat timbang sukat tiada sijil atau pelekat serta pelekat yang telah tamat tempoh.
“Berkenaan kesalahan tidak mempamerkan harga itu, hasil pemantauan yang saya turun sendiri mendapati apabila tiada tanda harga ini, biasanya mereka beri alasan terlupa.
“Tetapi kebiasaannya saya nampak ada yang sengaja tidak meletakkan tanda harga sebab mereka nak mainkan manipulasi harga sedikit.
“Contoh di pasar malam, kita tetapkan katakan nasi ayam penyet dijual RM12, tapi mungkin dia rasa mahal takut orang tak beli, jadi dia tutup harga. Apabila kita datang buat pemeriksaan baru dia buka harga.
“Maknanya dia nak supaya orang datang bayar dulu, beli dulu, baru tanya harga dan mungkin sudah terpaksa beli. Jadi itu antara kesalahan yang dapat dikesan,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena sesi walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2026 dan Jualan Rahmah Madani Aidilfitri di perkarangan Foyer Blok B Bangunan Persekutuan Greentown di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Kamalludin berkata, pihaknya sentiasa menjalankan advokasi kepada peniaga, khususnya di bazar Ramadan bagi memastikan peraturan mempamerkan harga dipatuhi.
“Sambil itu, kita sentiasa buat advokasi terutamanya di bazar Ramadan. Baru-baru ini kita banyak buat advokasi, jika kesalahan kali kedua dan seterusnya kita akan terus kompaun.
“(Kesalahan tidak letak harga ini) melibatkan semua premis, ada premis tetap dan ada bazar Ramadan, tapi biasanya kita buat advokasi dahulu iaitu bagi teguran. Alhamdulillah selepas ditegur, terutamanya di bazar Ramadan mereka sudah letak harga,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan hasil tinjauan sepanjang bulan Ramadan di bazar Ramadan seluruh daerah di Perak mendapati harga makanan yang dijual masih berpatutan.
“Sepanjang bulan Ramadan ini, di bawah tinjauan saya di bazar-bazar Ramadan seluruh daerah di Perak ini (ada lapan cawangan), saya dapati harganya ada yang berpatutan.
“Maknanya aduan tentang harga tidak munasabah itu tiada. Macam contoh saya pergi di Gerik, masih dapat murtabak RM5, kalau di sini mungkin RM6 atau RM7.
“Ada setengah kawasan macam Teluk Intan pun sama, di Gerik baru-baru ini kita pergi tengok harganya masih munasabah yang rakyat atau masyarakat boleh belilah,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KPDN tingkat kawalan stesen minyak di sempadan, kekang ketirisan bahan api


