IPOH – Peniaga bazar Ramadan antara 27 peniaga yang dikenakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak sepanjang lima hari Ops Pantau 2026 dilaksanakan bermula 19 Februari lalu.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, sehingga 23 Februari, sebanyak 860 premis diperiksa dengan 27 kes telah dikenakan tindakan kompaun membabitkan nilai keseluruhan RM6,000.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut 23 kes melibatkan tiada tanda harga manakala empat kes melibatkan Akta Timbang Sukat 1972 kerana menggunakan alat timbang tidak disahkan serta tamat tempoh verifikasi.
“Pemeriksaan yang dijalankan menerusi Ops Pantau memberi tumpuan secara bersasar dan lebih kerap kepada lokasi tumpuan orang ramai bagi menyambut Ramadan dan Aidilfitri, seperti bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar raya, pasar awam, pasar kering serta kedai runcit.

“Semasa pemeriksaan jika kita ada temui kesalahan, kita akan kompaun ‘on the spot’ dan setakat ini, nilai kompaun berjumlah RM6,000 bagi 27 kes di seluruh Perak.
“Untuk maklumat, kita menerima satu aduan rasmi mengenai bazar Ramadan di Parit Buntar berkaitan dengan tiada tanda harga dan tindakan telah diambil ke atas peniaga berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena sesi walkabout dan Pelancaran Bazar Ramadan Rahmah (BRR), Program Ihsan Food Bank (i-FB) dan Program Patuh di Bazar Ramadan Taman Cempaka di sini pada Selasa.
Ops Pantau yang berlangsung dari 19 Februari hingga 20 Mac depan bertujuan memastikan ekosistem perdagangan kekal stabil dan adil. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


