GERIK — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya menumpaskan satu sindiket penyelewengan petrol RON95 menerusi Ops Tiris yang dijalankan sekitar Pengkalan Hulu di sini, semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi yang bermula jam 12 tengah hari itu dilaksanakan oleh sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Gerik dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Gerik.
Menurutnya, operasi berkenaan dilaksanakan bagi memastikan pemeriksaan menyeluruh, termasuk aspek teknikal kenderaan serta pematuhan undang-undang.
“Hasil operasi tersebut, pihak berkuasa berjaya menahan dua buah kereta jenis Mercedes Benz dan sebuah kereta jenis Toyota Camry yang disyaki telah diubah suai pada tangki asal bagi tujuan penyelewengan petrol.
“Siasatan awal mendapati sindiket menggunakan modus operandi mengisi petrol secara berulang kali di stesen minyak berhampiran sebelum membawa keluar bahan api itu ke negara jiran.

“Tiga lelaki tempatan berusia antara 60 hingga 70 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan dan menyita tiga kenderaan berdaftar tempatan serta kira-kira 450 liter petrol RON95 yang disimpan dalam tangki yang telah diubah suai.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM15,741.50,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan.
Katanya, jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi pertubuhan atau perbadanan pula, denda boleh mencecah sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan seterusnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


