GERIK – Seorang lelaki Orang Asli ditemui selamat hari ini selepas hilang 24 jam ketika mencari hasil hutan dan makanan di Tasik Banding, di sini pada Sabtu.
Difahamkan, mangsa, Runi Ager, 29, bersama rakannya ke Pulau Perhilitan Lama menaiki bot sekitar jam 12 tengah hari dan tidak pulang semula sekitar jam 3 petang semalam.
Mangsa yang didakwa mempunyai masalah mental dikatakan hilang selepas mengadu sakit perut dan ingin membuang air besar di pulau tersebut.
Rakan-rakan mangsa cuba mencari mangsa namun gagal dan menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada polis berhubung kehilangan mangsa sekitar jam 9.25 pagi.
“Kerja-kerja pencarian dilakukakan dengan mengaplikasikan konsep LAST bagi mengesan kedudukan serta mencari mangsa yang hilang dan Pusat Kawalan Bomba (PKB) telah dibuka di Jeti Trojen, Tasik Temenggor.
“Jarak lokasi mangsa hilang adalah sejauh lapan kilometer (km) dari jeti tersebut dan mengambil masa selama 20 minit untuk tiba dengan menggunakan bot.
“Ketua Operasi memaklumkan operasi pencarian melibatkan keluasan kawasan sejauh 14km persegi bermula dari kawasan Jeti Pulau Perhilitan Lama dan dilakukan mengikut dua laluan pulau sehingga ke bahagian tengah pulau.
“Pencarian dilakukan secara bergilir-gilir di antara bomba dan polis serta bantuan tambahan dari kakitangan Taman Negeri.
“Kita turut meminta bantuan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, mangsa telah ditemui selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan oleh orang awam yang menyertai pencarian menggunakan bot sekitar jam 3.20 petang di tepi tebing tasik pulau yang sama.
“Jarak mangsa dilaporkan hilang dengan lokasi ditemui adalah satu km.
“Mangsa kemudiannya diserahkan oleh orang awam pada pasukan penyelamat di lokasi mula pencarian iaitu di Jeti Pulau Perhilitan Lama,” ujarnya.
Katanya, pada jam 4.08 petang mangsa dibawa ke Jeti Trojen dengan menggunakan bot polis dan seterusnya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya jam 4.40 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan: