SUNGAI SIPUT – Seorang lelaki orang asli yang terjatuh dari bot ketika memukat ikan pada Selasa ditemukan lemas di Sungai Perlus di Kampung Chenein, Lasah, dekat sini, pada Khamis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, ditemukan tersangkut pada ranting kayu dan buluh pada kedudukan 10 kilometeri (km) dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.
Katanya, mangsa ditemukan kumpulan tiga pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang terdiri daripada anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) pada jam 12.52 tengah hari.
“Pasukan SAR yang menggunakan dua bot menerusi kaedah pencarian pada permukaan sungai menemukan mangsa pada ranting kayu dan buluh di tebing sungai.
“Mangsa kemudian dibawa ke tebing dengan menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Kata beliau, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK), Shamsul Othman itu kemudian tamat pada jam 1.30 tengah hari.
Pagi tadi dilaporkan radius operasi SAR mangsa lelaki orang asli itu diperluaskan sehingga lima km dari tempat kejadian.
Ia melibatkan bomba, Unit Anjing Pengesan (K9), APM, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) serta polis.
Media sebelum ini melaporkan, Amran Ahin, 43, terjatuh ke dalam Sungai Pelus bersama anak lelaki berusia lapan tahun ketika sedang memasang pukat di sungai itu pada Selasa.
Kanak-kanak lelaki itu bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung yang berada berhampiran lokasi kejadian manakala mangsa dihanyutkan arus deras. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Operasi SAR orang asli jatuh sungai ketika memukat ikan diteruskan pagi ini