SUNGAI SIPUT – Masyarakat Orang Asli di Perak disaran supaya bergiat aktif dalam pembangunan sektor ekopelancongan kerana ia berpotensi memberi impak positif besar kepada kawasan setempat.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, usaha secara kolektif melalui penubuhan koperasi dilihat sebagai pendekatan paling berkesan bagi memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati secara menyeluruh oleh penduduk kampung.
Katanya, justeru pembangunan kawasan ekopelancongan yang diwujudkan seperti di Kayuh D’Tonggang di Tanjung Rambut dan Taman Eko Rimba Lata Kinjang di Tapah harus dijadikan contoh di setiap perkampungan Orang Asli di negeri ini.

“Apabila sektor ekopelancongan dapat dibangunkan melalui koperasi di kampung, ia secara tidak langsung akan menawarkan peluang-peluang pekerjaan baharu tanpa mereka perlu berhijrah ke bandar.
“Pada masa sama, selepas apabila koperasi menjana keuntungan, dana itu pula boleh digunakan untuk membesarkan kawasan pelancongan, menambah aktiviti baharu ataupun dilaburkan kembali kepada kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kawasan Pelancongan Rekreasi dan Ekopelancongan Perkampungan Orang Asli ‘Jok Maduh D Kenang’ di Kampung Kenang, dekat sini, pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pembangunan Komuniti dan Bantuan Kemanusiaan Bencana Yayasan Hasanah, M Lakshwin; Pengarah Global Environment Centre (GEC), Faizal Parish; Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Perak dan Kedah, Harulnizam Abd Rahman; serta Batin Kampung Kenang, Saidin Wahab.
Dalam pada itu, Loh berkata, sektor ekopelancongan berasaskan komuniti Orang Asli juga mampu mewujudkan ekosistem yang memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk setempat, malah kepada industri pelancongan negeri dan negara.

Kata beliau, kerajaan negeri bersama agensi pelancongan dan badan bukan kerajaan (NGO) kini sedang giat memberi kefahaman kepada komuniti Orang Asli tentang potensi besar sektor berkenaan.
“Apabila bergerak sebagai satu kampung, hasil keuntungan akan kembali kepada kampung dan bukan kepada satu individu sahaja.
“Ini akan mewujudkan rasa memiliki atau ’sense of belonging’ dan ‘sense of ownership’, serta rasa tanggungjawab dalam kalangan penduduk,” katanya lagi.
Dalam pada itu kata beliau, kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 adalah peluang yang harus dimanfaatkan untuk memperkenalkan keunikan dan kebudayaan komuniti Orang Asli di Malaysia kepada dunia.

“Kerajaan Perak menyokong penuh usaha ini dengan menumpukan kepada produk pelancongan yang beridentiti tempatan dan memberi manfaat langsung khususnya dalam segmen ekopelancongan dan pelancongan budaya.
“Dalam konteks ini, Jok Maduh D Kenang merupakan contoh produk pelancongan yang tepat pada masanya dan sangat relevan,” ujar beliau.
Pusat ekopelancongan di Kampung Kenang di Jalong Tinggi itu diusahakan 40 anggota Koperasi Orang Asli Kampung Kenang Baru Sungai Siput (U) Perak Berhad (KOAKKB) sejak Mac tahun lalu.
Dengan peruntukan sebanyak RM500,000 melalui model Kerjasama Awam-Swasta (PPP), ia dibangunkan melalui inisiatif bersama Yayasan Hasanah, GEC, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), JAKOA dan sebagainya.
Pelan Perak Sejahtera 2030 digariskan sebagai pelan pembangunan komprehensif oleh Kerajaan Negeri Perak merangkumi pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan semua rakyat negeri termasuk komuniti Orang Asli.
Pelan ini bertujuan memastikan setiap rakyat meraih manfaat dari inisiatif pembangunan tanpa mengira latar belakang kaum atau geografi.
Dalam program-program utama Pelan Perak Sejahtera 2030, terdapat satu program khusus bernama “Santuni Orang Asli” yang termasuk dalam senarai 18 program flagship negeri.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pernah menyatakan bahawa dalam Pelan Perak Sejahtera 2030, masyarakat Orang Asli tidak akan ditinggalkan atau dipinggirkan dan diberikan peluang yang setara dalam pembangunan negeri.
Katanya, ia termasuk dalam sektor ekonomi, pendidikan dan peluang latihan kerana penglibatan Orang Asli digambarkan sebagai rakan strategik dalam pembangunan negeri.
Penyertaan Orang Asli dalam ekopelancongan dan ekonomi hijau komuniti membantu golongan berkenaan menjana pendapatan, peluang pekerjaan dan memupuk ekonomi berasaskan komuniti.
Sebagai contoh, Projek Kayuh D’Tonggang, sebuah inisiatif ekopelancongan yang dipelopori oleh komuniti Orang Asli di Sungai Tonggang, diiktiraf sebagai contoh kejayaan dasar pembangunan inklusif yang seiring Pelan Perak Sejahtera 2030. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Jenama semula durian bukit untuk tingkat pendapatan Orang Asli


