IPOH – Orang ramai digalakkan memiliki sekurang-kurangnya satu unit alat pemadam api (APA) supaya bagi membolehkan tindakan awal diambil sekiranya berlaku kebakaran melibatkan kenderaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, ia susulan insiden kebakaran melibatkan kenderaan termasuk kenderaan elektrik (EV) semakin membimbangkan dalam tempoh dua bulan ini.
“Sekarang ini memandangkan jumlah kebakaran kenderaan yang meningkat, kita menggalakkan penyimpanan APA di dalam kenderaan.
“Kita kena galakkan pengguna kenderaan sekurang-kurangnya meletakkan satu APA dalam kenderaan masing-masing.
“Sekiranya berlaku kecemasan sekurang-kurangnya kita boleh gunakan ataupun kita boleh menggunakannya untuk bantu orang lain. Jadi itu saya hendak tekankan supaya sama-sama menjaga keselamatan diri sendiri dan juga keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa JBPM Perak di Ibu Pejabat JBPM Negeri Perak, Bandar Meru Raya, di sini, malam tadi.
Dalam perkembangan sama, Sayani berkata, setakat ini tiada punca spesifik yang boleh dikaitkan dengan kejadian kebakaran EV namun antara faktor dipercayai berpunca daripada bateri.
“Masih banyak lagi faktor (punca kebakaran) EV tetapi kalau kata punca utamanya stesen pengecas EV dia punya bateri. Kadang-kadang dia ke over charging (terlebih cas) tapi kebakaran yang berlaku di lebur raya masih dalam siasatan .
“Ini kerana EV masih baharu dan kita memanggil pengedar kenderaan tersebut untuk mengkaji. Jadi kami hendak keluarkan kenyataan bahawa kebakaran berlaku, saya tidak boleh nyatakan.
“Sebab kes ini (melibatkan EV) masih baru dan dalam siasatan. Mereka (pengedar) sendiri pun hantar jurutera mereka sendiri untuk melihat puncanya,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: