‘Orang tua PUO’ aktif videografi, cemerlang akademik

MENDAPAT jolokan ‘orang tua PUO’ (Politeknik Ungku Omar), Muhammad Amir Md Jazi, bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi pada masa sama turut bergiat aktif dalam penghasilan video atau videografi.

Jolokan itu diberikan kepada pelajar terbabit kerana dari mula menjejakkan kaki ke politeknik tersebut dia sudah berhasrat untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah di lokasi yang sama.

Penerima Anugerah Ungku Omar dan Anugerah Khas Industri Menteri Besar Perak pada Istiadat Konvokesyen PUO ke-52 di Dewan Jubli Perak PUO baru-baru menamatkan pengajian Diploma Kejuruteraan Mekatronik dengan memperoleh himpunan purata nilai mata (HPNM) 3.61.

‘Orang tua PUO’ aktif videografi, cemerlang akademik
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan anugerah Ungku Omar kepada graduan Diploma Kejuruteraan Mekatronik, Muhammad Amir Md Jazi pada Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-52 di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF.

Anak tunggal kepada pasangan Md Jazi Yaakub dan Faizah Mohd Hassan ini yang baru berusia 22 tahun sedang menyambung pengajian tahun kedua di peringkat ijazah dalam bidang sama di PUO.

Muhammad Amir juga pernah mencapai beberapa kejayaan antaranya tempat pertama persembahan video terbaik Online Business Pitching Competition 2020, pingat perak pada International Innovation and Invention Competition Through Exhibition (iCompEx 2022) dan johan Pertandingan Video Kreatif Techlympic Malaysia 2022.

Orang mula kenal sejak video di PUO tular

Anak kelahiran Ipoh,Perak ini memang berhasrat untuk menghasilkan video jika diberi peluang untuk sambung belajar di mana-mana insitusi pengajian di Malaysia.

“Kalau nak cerita waktu saya diploma dulu, di sini, saya menjadi tarikan dan tumpuan orang ramai bila video pertama saya di PUO tular di media sosial.

“Tapi kiranya awal-awal itu susah (menghasilkan video) tapi makin lama saya dipermudahkan urusan. Alhamdulillah, selepas video itu tular saya bergabung dengan senior di sini,“ katanya ketika ketika ditemui MG Perak.

‘Orang tua PUO’ aktif videografi, cemerlang akademik
Temubual penerima anugerah Ungku Omar, graduan Diploma Kejuruteraan Mekatronik, Muhammad Amir Md Jazi pada Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-52 di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF.

Menurutnya, terdapat kekangan sewaktu dia hendak berjinak-jinak dalam penghasilan video, pada masa sama dia perlu menumpukan perhatian pada pelajaran, tambahan ketika itu Covid-19 sedang melanda negara.

“Daripada situ jadual belajar saya macam kejap ada, kejap tiada, kejap masuk kelas, kejap hilang. Waktu saya masuk diploma dulu ketika Covid-19 pada tahun 2020.

“Jadi, kalau saya ingin keluar, saya perlu mendapat kebenaran bersurat. Tetapi, selepas habis PKP (perintah kawalan pergerakan) dan keadaan di luar sudah mula ‘longgar‘ sedikit saya teruskan aktiviti videografi,“ ujarnya.

Menurutnya, antara pengalaman paling berharga yang diperoleh adalah menghabiskan cuti semester selama sebulan mengelilingi beberapa negeri di Malaysia untuk menghasilkan video bagi rancangan travelog untuk sebuah stesen televisyen tempatan.

Bahagi masa antara pelajaran dan minat

Dalam pada itu, Muhammad Amir berkata, perkara paling penting untuk memastikan pelajaran dan minat adalah pembahagian masa yang baik.

“Ketika diploma saya tidak ada tips (petua) kerana pengajian pada ketika itu dijalankan secara online (dalam talian), tapi bila dah masuk ijazah baru nampak mencabar, kena hadapi semua 100 peratus.

“Jadi tips saya adalah, tengok jadual. Kalau di peringkat ijazah, kita boleh susun jadual sendiri, kalau nak cuti dari Jumaat hingga Ahad, boleh buat job (kerja) videografer pada masa itu.

“Itulah sedikit sebanyak ‘tips and tricks’ saya. Misal kata job bertindih dengan kelas, company (syarikat terlibat) akan bagi surat pengecualian.

“Bagaimanapun, jika ada yang pelajaran yang tertinggal, saya akan bertanya rakan-rakan sekelas. Walaupun penat sikit selepas selesai kerja, janji apa-apa berkaitan pelajaran terus disiapkan,“ jelasnya.

Kejuruteraan atau videografi?

‘Orang tua PUO’ aktif videografi, cemerlang akademik
Penerima anugerah Ungku Omar, graduan Diploma Kejuruteraan Mekatronik, Muhammad Amir Md Jazi gembira bersama ibunya Faizah Mohd Hassan pada Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-52 di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF.

Menyentuh sama ada dia ingin meneruskan bidang videografi yang diminatinya atau bekerja dalam bidang dipelajarinya, perkara itu sudah dibincangkan dengan kedua ibu bapanya.

“Berkenaan masa depan, memang sudah bincang dengan ayah dan dia menyuruh saya menamatkan pengajian dalam bidang ijazah dahulu. Dia tengok saya boleh buat videografi, bidang kejuruteraan pun boleh pergi jauh.

“Saya juga ada target (menyasarkan) syarikat tertentu untuk sambung kerja. Perancangan saya adalah kerja dekat syarikat kejuruteraan tetapi ada production (produksi) jadi boleh jalankan projek. Jadi macam producer (produser),” katanya.

Ibu bapa, anak perlu ada persefahaman

Sebenarnya, untuk berjaya, Muhammad Amir berkata, komunikasi antara pelajar dan ibu bapa adalah penting antara satu sama lain.

“Ibu bapa kena faham apa yang anak dia minat. Kalau ibu bapa mahu anak sambung belajar dalam bidang kejuruteraan dan anak minat videografi, bagi peluang.

“Tetapi, sebagai anak perlu manfaatkan peluang diberikan dengan baik dan seimbang. Itu yang saya dan keluarga lakukan,” ujarnya.

‘Orang tua PUO’ aktif videografi, cemerlang akademik
Temubual Faizah Mohd Hassan ibu kepada penerima anugerah Ungku Omar, graduan Diploma Kejuruteraan Mekatronik, Muhammad Amir Md Jazi pada Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-52 di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF.

Sementara itu, Faizah ketika ditemui terkejut dan tidak menyangka anak tunggalnya berjaya menerima anugerah tertinggi berkenaan.

“Pada mulanya, makcik ingat dia main-main, sebab dia memang suka main-main. Bila pensyarah beritahu, baru makcik percaya. Mak mana yang tidak seronok anak dapat anugerah tertinggi.

“Walaupun, Amir ini manja sebab dia anak tunggal, tetapi dia pandai berdikari. Sejak masuk PUO di suka cari peluang untuk menjana pendapatan sendiri.

“Dia memang pandai dan minat buat video. Syukur alhamdulillah, dia tak pernah abaikan pelajaran walaupun sentiasa aktif dan sibuk,“ kata suri rumah tersebut. – MG Perak

Video:

MGPerak: ‘Orang Tua PUO’ Aktif Videografi, Cemerlang Akademik

MGPerak: ‘Orang Tua PUO’ Aktif Videografi, Cemerlang Akademik

 

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI