LENGGONG – Kerajaan Negeri Perak komited membangunkan industri agropelancongan secara holistik dan mampan bagi menjana lebih banyak peluang pekerjaan, mencipta perusahaan baharu dan meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk bantuan insentif dan program pembangunan kapasiti untuk memperkasakan sektor ini.
“Bagi melonjak daya saing industri agropelancongan, kita akan terus memperkukuhkan infrastruktur dan kemudahan di lokasi-lokasi berpotensi.
“Selain itu juga Kerajaan Negeri Perak juga akan menyediakan sokongan kepada pengusaha tempatan meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Pelancaran dan Perasmian Karnival Agropelancongan Perak 2024 di Resort Tasik Raban, Lenggong, di sini, semalam.
Mengulas mengenai penganjuran julung kalinya PAC 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula 17 Mei dan berakhir hari ini, Saarani berkata, ia jelas menunjukkan komitmen jitu memajukan industri agropelancongan yang kini menjadi antara pemacu pertumbuhan ekonomi Perak.
Jelas beliau, pemilihan Lenggong sebagai lokasi penganjuran karnival amat bertepatan memandangkan daerah ini kaya dengan pelbagai produk agropelancongan yang berpotensi diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
“Kepelbagaian elemen alam semulajadi, warisan, budaya, gastronomi, pertanian dan penternakan yang berpadu secara harmoni menjadikan Lenggong antara lokasi agropelancongan yang mesti dilawati di Perak.
“Insya-Allah, dengan kerjasama erat semua pihak, saya yakin sektor agropelancongan akan terus berkembang dengan baik seterusnya berupaya menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri dan menjana kesejahteraan untuk semua,” katanya.
Untuk rekod PAC 2024 berjaya menggamit kehadiran lebih 15,000 pengunjung bermula Jumaat sehingga petang semalam dan jumlah berkenaan dijangka terus bertambah pada hari terakhirnya hari ini. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
MGPerak: PAC 2024 Promosi Pelancongan Lenggong, Sasar 2,000 Pengunjung Sehari