PADU: Perak hasrat jadikan KEMAS sebagai agen sebar maklumat

PASIR SALAK – Kerajaan Negeri Perak berhasrat untuk menjadikan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sebagai salah satu ejen yang berperanan dalam memberi kefahaman dan maklumat kepada masyarakat berhubung kepentingan sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, justeru itu satu sesi libat urus antara pihak kerajaan dan KEMAS akan diadakan dalam tempoh terdekat.

“Kita percaya KEMAS mempunyai kekuatan serta hubungan yang rapat dengan pelbagai lapisan masyarakat. Dan saya fikir mereka boleh bertindak sebagai antara agen penyebar maklumat PADU.

“Untuk itu, sesi libat urus yang diterajui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan diadakan bagi memberi kefahaman secara jelas kepada kakitangan KEMAS ini sebelum ia disebar luas kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Hari Apresiasi Tabika KEMAS Parlimen Kampar Tahun 2023 di Dewan Agro Kompleks Kuarters Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) Sungai Galah di sini, pada Khamis.

Pada majlis, seramai 267 murid daripada 30 Tabika KEMAS dalam kawasan Parlimen Kampar diraikan.

Dalam pada itu, Mohd Azlan memaklumkan, pihaknya juga sedang merancang untuk mengadakan kolaborasi bersama pimpinan di peringkat daerah termasuk penghulu dan ketua kampung memastikan maklumat berkaitan PADU dapat menembusi hingga peringkat akar umbi.

“Golongan yang disasarkan untuk pendaftaran PADU ini adalah di pelbagai peringkat.

“Justeru itu, saya fikir kita perlu optimumkan kekuatan yang ada untuk pastikan tiada golongan yang tercicir terutama di kalangan warga emas dan penduduk pedalaman,” ujarnya lagi.

PADU yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu itu telah dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, DOSM serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) selain dibantu pelbagai pihak diperingkat negeri.

Melalui sistem tersebut, semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU serta mengemas kini dan mengesahkan 39 maklumat diri yang diperlukan. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perak sasar 1.8 juta penduduk daftar PADU

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI