IPOH – Persatuan Bola Sepak Negeri Perak (PAFA) kini memberi tumpuan kepada pengurusan dan pembangunan bola sepak yang berintegriti sebagai persiapan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2026.
Presidennya, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, beberapa individu yang mempunyai pengalaman telah dilantik untuk merealisasikan tujuan tersebut.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Perak dan Majlis Sukan Negeri (MSN) atas kepercayaan yang diberikan untuk membentuk pasukan negeri ke temasya sukan berprestij itu.
“Sebagai langkah strategik, PAFA telah melantik, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perak, Datuk Ahmad Sabri Mohamed sebagai Pengurus Pasukan SUKMA 2026 yang juga Pengerusi Jawatankuasa Integriti PAFA.
“Ahmad Sabri sebelum ini mencipta kejayaan apabila berjaya membawa pasukan Perak menjuarai Piala Emas Raja-Raja 2024.
“Beliau akan dibantu oleh Zainal Anuar Abdul Rashid atau lebih dikenali sebagai Cikgu Zainal, sebagai Penolong Pengurus.
“Cikgu Zainal mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengurusan pasukan, termasuk dua tahun sebagai Pengurus Pasukan Presiden dan tiga tahun sebagai Timbalan Pengurus,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sementara itu, beliau memaklumkan aspek teknikal akan diterajui oleh Syamsul Mohd Saad @ Choi, jurulatih berpengalaman yang pernah mewakili negara sebagai pemain kebangsaan.
“Gabungan pengalaman dan integriti dalam barisan pengurusan dan kejurulatihan ini diyakini mampu membentuk pasukan yang kompetitif serta berdaya saing dalam misi memburu kejuaraan di SUKMA 2026.
“Sebagai sebahagian daripada inisiatif pembangunan jangka panjang, PAFA turut merancang program pencarian bakat ke seluruh daerah di Perak bagi mengenal pasti pemain muda yang berbakat dan berpotensi tinggi.
“Fokus kami bukan sahaja untuk meraih podium di SUKMA, tetapi juga melahirkan pemain bola sepak yang berkemahiran tinggi serta mempunyai nilai integriti dan disiplin yang kukuh,” ujarnya.
Mohd Azhar menegaskan, pendekatan ini selari dengan visi PAFA untuk membangunkan ekosistem bola sepak negeri yang mampan dan berdaya tahan.
“Kami percaya, dengan sokongan padu semua pihak, pasukan ini bukan sekadar akan bersaing di SUKMA, tetapi juga menjadi pemangkin kepada kelahiran generasi pemain berwibawa yang mampu mengharumkan nama Perak dan Malaysia di peringkat lebih tinggi,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PAFA, kerajaan negeri bincang bangunkan sukan bola sepak OKU