IPOH – Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) sedang merangka pelan menyeluruh bagi pembangunan bola sepak akar umbi dengan memberi tumpuan khusus kepada pemain berusia 18 tahun ke bawah.
Presiden PAFA, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, dalam usaha itu pihaknya merancang untuk menubuhkan sebuah pusat latihan daerah atau DTC yang berfungsi sebagai platform pembangunan bakat muda bola sepak negeri.

Katanya, inisiatif itu selari dengan pendekatan ‘back to basic’ atau kembali kepada asas sebagaimana yang dihasratkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam penekanan pembinaan pasukan bola sepak yang sistematik dan berkualiti.
“Untuk tahun 2026, saya berhasrat membuka DTC di peringkat daerah dan saya sudah berbincang dengan Pejabat Pendidikan Daerah dan mereka bersetuju untuk mengenal pasti sekolah yang bersedia untuk menjadi pusat pemain di peringkat daerah.
“Melalui inisiatif ini, kita akan adakan pelbagai siri pertandingan, dan daripada itu kita akan cari pemain yang terbaik untuk dibentukkan satu pasukan di sekolah yang dijadikan pusat latihan sebelum ke pertandingan peringkat seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Liga Perak Sejahtera Inter Parlimen 2025/2026 Piala YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad di Hotel Casuarina@Meru, dekat sini, pada Khamis.
Majlis disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menurut Mohd Azhar, inisiatif yang turut melibatkan kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu menyasarkan pelajar Tingkatan Empat dan Lima, serta lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurut beliau, pelaksanaan awal projek itu akan dimulakan di Hilir Perak sebagai projek perintis sebelum diperluaskan ke daerah lain berdasarkan keberkesanan templat yang dibangunkan.
“Templat ini akan bermula di Hilir Perak dalam tempoh dua bulan. Saya sendiri sudah berbincang dengan PPD, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan jurulatih-jurulatih daerah.
“Kita akan ‘try and error’ sehingga dapat satu sistem yang mantap sebelum ia dapat dikembangkan ke daerah-daerah lain seperti Pengkalan Hulu, Bagan Serai dan Kinta.
“Dan daripada situ, kita boleh membentuk sebuah Pasukan U19 Daerah, dan akhirnya Pasukan Negeri U19 untuk Piala Belia 2027 daripada 6,300 peserta yang disasarkan nanti,” ujarnya.

Selain itu beliau berkata, usaha yang digerakkan itu juga diharap dapat memberi keyakinan kepada bakat muda bahawa Perak mempunyai laluan lengkap bagi mereka yang bercita-cita menjadi pemain bola sepak profesional.
“Daripada sekolah rendah, ke sekolah menengah, lepas SPM masuk U19, seterusnya ke liga tempatan, Piala Belia, Piala Presiden dan akhirnya Liga A1.
“Jika sistem ini berjaya, PAFA yakin Perak akan kembali berada di landasan yang betul untuk bersaing di peringkat lebih tinggi menjelang tahun 2030,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Al-Ikhsan penaja utama Perak FA


