‘Pak Belang’ masuk kampung, kehidupan lebih 1,000 penduduk diselubungi ketakutan

FOBIA dan hidup dalam ketakutan. Itu perasaan yang dirasai kira-kira 1,800 penduduk di Kampung Ulu Kuang, dekat Chemor, Ipoh selepas mengalami gangguan kemunculan harimau belang, sejak akhir-akhir ini.

Kehidupan seharian mereka tidak lagi sama tatkala ada antara penduduk yang mengesan ‘Pak Belang’ masih bebas berkeliaran tanpa mengira waktu malam mahupun siang.

Meskipun terdapat usaha memang perangkap yang dijalankan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), namun haiwan liar berkenaan masih belum berjaya ‘terjerat’.

Harimau belang masuk kampung Chemor pak belang gangguan harimau Perak, Kampung Ulu Kuang, ancaman hidupan liar, PERHILITAN Perak, penduduk takut harimau, serangan harimau Chemor
Penduduk Kampung Ulu Kuang, Abdul Hadi Azruddin, 26, menunjukkan kesan tapak kaki harimau yang ditemui ketika tinjauan MG Perak di Kampung Ulu Kuang, Chemor. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 07 OKTOBER 2025.

Kini penduduk menyifatkan masalah itu bukan lagi tentang soal harimau yang tersesat ke kampung, sebaliknya ia adalah ancaman berulang sehingga menjejaskan keselamatan serta kehidupan mereka.

Penduduk Kampung Ulu Kuang, Abdul Hadi Azruddin, 26, berkata, pengalaman peribadi terdengar bunyi harimau semasa berada di kebun durian miliknya cukup mencemaskan.

“Ada suatu ketika dalam perjalanan balik dari kebun sekitar jam 6.50 petang, saya terdengar bunyi seperti suatu badan besar yang bergesel dengan pagar zink kebun. Selepas itu saya dengar ada bunyi garau seperti harimau.

“Tidak lama kemudian saya cuba periksa di lokasi, saya tengok di tanah ada tapak kaki baharu seperti tapak kaki harimau, iaitu satu tapak besar dan satu tapak kecil.

“Semasa itu bulu roma terus naik, saya kunci pintu kebun dan terus balik. Sejak kejadian itu, saya tidak berani lagi berada di kebun lepas jam 6 petang,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Ulu Kuang, Chemor, baru-baru ini.

Penduduk kampung, Abdul Hadi Azruddin, 26, menunjukkan gambar kesan tapak kaki harimau yang sempat dirakamnya menggunakan telefon bimbit ketika ditemui MG Perak di Kampung Ulu Kuang, Chemor. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 07 OKTOBER 2025.

Menurut Abdul Hadi, sejak kejadian itu dia mengambil langkah lebih berjaga-jaga ketika ke kebun seperti membawa parang dan mercun bola bersama seekor anjing apabila hendak ke kebun durian seluas kira-kira 1.21 hektar.

Sementara pekerja ladang, Mohd Haikal Affendy Mohd Ruslan, 28, pengalaman dua kali berdepan dengan Pak Belang pada tahun ini membuatkan dia tidak pernah lagi bekerja dengan hati yang tenang.

Harimau belang masuk kampung Chemor pak belang gangguan harimau Perak, Kampung Ulu Kuang, ancaman hidupan liar, PERHILITAN Perak, penduduk takut harimau, serangan harimau Chemor
Penduduk kampung, Mohd Haikal Affendy Mohd Ruslan, 28, ketika temubual bersama MG Perak di Kampung Ulu Kuang, Chemor. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 07 OKTOBER 2025.

“Kali pertama saya nampak anak harimau melintas pada awal Januari lalu, dan ia membuatkan saya lari ketakutan.

“Sementara pada awal minggu September, saya terhidu bau hamis yang cukup kuat, macam bau haiwan liar. Dan Selepas itu itu saya terus tinggalkan kebun.

“Ketika ini juga, kami ikut nasihat pihak PERHILITAN agar balik dari sebelum jam 6 petang, tetapi kerja kebun bukan boleh tengok jam selalu. Kadang-kadang terlajak juga,” ujarnya lagi.

Penduduk kampung, Mohd Haikal Affendy Mohd Ruslan, 28, menunjukkan lokasi dia mendengar geseran dipercayai ditinggalkan oleh seekor harimau yang berkeliaran di kawasan Kampung Ulu Kuang, Chemor. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 07 OKTOBER 2025.

Dalam pada itu, penduduk Kampung Ulu Kuang, Muhamad Nazreen Syah Musthafa, 36, memberitahu ancaman itu tidak hanya berlaku di kebun, malah turut menghantui mereka di kawasan rumah.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, malah rakan sekampungya juga ada memaklumkan terlihat kelibat harimau belang melintasi jalan raya iaitu pada jarak kira-kira 100 meter dari rumah kediaman.

Muhamad Nazreen berkata, perkembangan itu membuatkan dia lebih bimbang akan keselamatan isteri dan anak-anak apabila dia terpaksa bekerja sehingga lewat malam.

Penduduk kampung, Muhamad Nazreen Syah Musthafa, 36, ketika temubual bersama MG Perak di Kampung Ulu Kuang, Chemor. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 07 OKTOBER 2025.

“Kalau saya balik kerja lewat malam, memang jadi fobia. Saya akan duduk dalam kereta dulu, tengok keadaan sekeliling dahulu sebelum keluar. Saya akan suruh isteri buka lampu di luar rumah dahulu, baru saya berani keluar dari kereta.

“Kadang-kadang rasa macam hidup dalam ketakutan. Dan disebabkan itu saya selalu pesan kepada keluarga, supaya jangan duduk lama di luar rumah terutama pada waktu malam,” katanya.

Penduduk bimbang Pak Belang ancam nyawa

Masalah kelibat harimau yang kelihatan ‘tersesat’ di sekitar Kampung Ulu Kuang bukan perkara baharu kerana ia kejadian itu kerap berlaku selain beberapa ekor haiwan liar itu pernah berjaya ditangkap PERHILITAN sebelum ini.

Ketua Kampung Ulu Kuang, Hamdan Ishak, berkata, pada tahun lalu, seekor harimau seberat 150 kilogram (kg) pernah ditangkap selepas membaham haiwan ternakan.

Kata beliau, namun insiden itu ternyata bukan pengakhiran kerana masih ancaman berulang masih berlaku di samping haiwan itu semakin berani menghampiri kawasan penempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) Kampung Ulu Kuang, Hamdan Ishak ketika temubual bersama media di Kampung Ulu Kuang, Chemor. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 07 OKTOBER 2025.

Hamdan memberitahu, ia membuatkan penduduk kampung terdedah kepada risiko, terutama golongan penternak dan pekebun yang menyara kehidupan kepada hasil kebun sawit, getah, durian dan pisang.

“Susulan daripada perkembangan itu, saya sudah menasihatkan penduduk agar tidak ke kebun seorang diri, sebaliknya bergerak secara berkumpulan sekurang-kurangnya dua atau tiga orang.

“Masalahnya, ada penduduk yang terlalu takut sampai langsung tidak berani lagi ke kebun. Ada kebun yang ditinggalkan hampir dua tahun kerana harimau pernah ditangkap di situ. Kalau tidak ke kebun, maka mereka hilang sumber rezeki,” jelasnya lagi.

Harimau belang masuk kampung Chemor pak belang gangguan harimau Perak, Kampung Ulu Kuang, ancaman hidupan liar, PERHILITAN Perak, penduduk takut harimau, serangan harimau Chemor
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) Kampung Ulu Kuang, Hamdan Ishak menunjukkan lokasi kelibat harimau yang dilihat melintas jalan raya ketika ditemui MG Perak di Kampung Ulu Kuang, Chemor. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 07 OKTOBER 2025.

Pada masa sama dia berkata, langkah berjaga-jaga juga telah diumumkan secara terbuka termasuk melalui masjid pada setiap Jumaat, selain pesanan dalam kumpulan WhatsApp kampung agar penduduk lebih berwaspada jika mahu ke kebun, terutama kawasan tanah pinggir.

Jelas beliau lagi, faktor utama gangguan itu dipercayai berpunca daripada kawasan habitat yang semakin diteroka, selain tarikan sumber makanan.

Kata Hamdan, ini kerana di sekitar kampung terdapat banyak ternakan termasuk lembu, kambing di samping populasi babi hutan yang juga banyak.

“Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini sahaja, puluhan haiwan ternakan seperti lembu dan kambing sudah menjadi korban Pak Belang.

“Walaupun setakat ini tiada serangan membabitkan manusia, namun penduduk semakin bimbang kerana ancaman harimau berlaku hampir setiap minggu,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perhilitan Perak, Kelantan kerjasama tangkap harimau baham 2 mangsa

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI