IPOH – Penggunaan pam bergerak adalah alternatif paling efektif digunakan bagi menyelesaikan masalah banjir termenung yang melanda di beberapa lokasi sekitar Perak.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setakat ini kawasan Pengkalan Baharu di daerah Manjung telah menggunakan kaedah tersebut bagi menurunkan paras air.
“Semalam saya tengok Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baharu, Azman Noh tunjuk bagaimana Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyedut air daripada kawasan banjir keluar.
“Bagaimanapun, keberkesanannya bergantung pada sungai yang kita masukkan air itu. Kalau air sungai itu tinggi, tak ada maknalah.
“Tetapi buat masa sekarang, kita nampak itu yang efektif. Pam itu sedut air daripada kawasan banjir, keluar ke sungai, dan bawa ke laut,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Mesra HBP Siri Kelapan 2025 di Stadium Indera Mulia, di sini pada Isnin.
Menyentuh mengenai gelombang kedua banjir yang bakal melanda, Saarani memaklumkan bahawa semua agensi terlibat sudah bersiap siaga untuk menghadapi bencana tersebut.
“Cuma kita minta tolong supaya orang ramai patuhi nasihat daripada agensi-agensi penyelamat. Kalau orang suruh pindah, pindahlah.
“Walaupun, pada sebelah pagi ada kalanya air masuk sampai buku lali dan mereka ingat akan surut kemudian air terus naik sampai ke paras lutut, dada dan leher baru nak pindah.
“Sebab itu kita nasihatkan orang ramai, dengar saja nasihat pegawai daerah khususnya ataupun agensi di peringkat daerah masing-masing nasihatkan berpindah, pindahlah,” ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim penubuhan Pusat Kawalan Operasi Bencana atau State Disaster Control Centre (SDCC) membantu kerajaan negeri menangani bencana gelombang pertama dengan menggerakkan aset di kawasan yang terjejas banjir.
“Selain daripada SDCC, kita juga telah menggerakkan jabatan berkaitan untuk mengkoordinasi operasi menyelamat (di kawasan terjejas banjir).
“Setakat ini, kita telah mengumpul 5,676 anggota penyelamat bersama 384 kenderaan pacuan empat roda, 97 ambulans, 251 lori, 251 bot, 1,500 jaket keselamatan dan 4,400 khemah untuk kegunaan di pusat penempatan sementara (PPS).
“Pengalaman gelombang pertama kita berjaya menggunakan SDCC ini untuk menggerakkan aset dan ini paling penting untuk menghadapi bencana. Kalau kita tidak boleh menghalang bencana datang tapi bagaimana untuk kita bersedia menghadapinya,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
720 aduan berjaya diselesaikan, HBP diteruskan tahun hadapan


