IPOH – Tidak mematuhi undang-undang jalan raya dan memandu secara berbahaya sehingga mengundang kemudaratan nyawa orang lain ditegah dalam Islam, malah dianggap berdosa di sisi syarak.
Teks khutbah Jumaat yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) memberitahu, justeru umat Islam diingat untuk mengamalkan sifat sabar dan bertimbang rasa terhadap pengguna jalan raya lain.
Menurutnya, syariat Islam meletakkan nilai tinggi pada nyawa manusia sebagaimana yang terkandung dalam salah satu perkara daripada Maqasid Syariah yang menekankan kepentingan memelihara nyawa.
Tambahnya, malah dalam Hadis Rasulullah SAW yang dijadikan kaedah fiqah dalam penentuan hukum turut menetapkan larangan mendatangkan kemudaratan dalam sebarang bentuk kehidupan.
“Sikap mementingkan diri sendiri merupakan punca berlaku kemalangan jalan raya. Antara sikap terburu-buru (ketika pemanduan adalah) melebihi had laju, gagal mengawal emosi, memandu dalam keadaan mabuk atau dipengaruhi dadah, cuai, menyalahgunakan lorong kecemasan dan sebagainya.
“Turut menjadi punca (kemalangan) ialah keadaan jalan raya yang tidak diselenggarakan dengan baik. Ia termasuk jalan tidak rata, berlubang dan berlopak, tidak cukup pencahayaan serta tanda isyarat pada waktu malam,” katanya.
Teks khutbah Jumaat yang bertajuk “Pemanduan Berhemah – Amanah di Jalan Raya’ itu dibacakan di semua masjid dan surau diri Jumaat di Perak.
Selain itu, teks sama turut mengingatkan Ummah tentang dua kemalangan maut tragis yang berlaku baru-baru ini iaitu nahas jalan raya membabitkan sembilan orang anggota Pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan dan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik.
Tegasnya, amanah di jalan raya menuntut umat Islam untuk mengendalikan kenderaan secara berhemah serta mematuhi segala peraturan dan undang-undang ketika mengguna jalan raya.
Katanya lagi, di sisi Islam, memandu secara berhemah merupakan ikhtiar yang dituntut, demi melindungi diri dan keselamatan orang lain daripada musibah kemalangan.
“Saban tahun kemalangan jalan raya semakin meningkat; tragedi kemalangan yang ngeri dan menyayat hati terus berlaku.
“Setiap kemalangan jalan raya mengakibatkan pelbagai kecederaan seperti kecacatan kekal, hilang upaya, hilang anggota badan atau menjadi lumpuh.
“Tidak kurang pula yang terkorban, mengakibatkan ibu bapa kehilangan anak, anak kehilangan ibu bapa, suami kehilangan isteri atau isteri kehilangan suami,” ujarnya.
Justeru teks khutbah Jumaat itu menggariskan beberapa peringatan dalam penggunaan jalan raya antaranya memastikan keadaan diri dan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan sebarang perjalanan.
Selain itu turut ditekankan agar umat Islam menjauhi perbuatan bahaya di jalan raya, di samping pihak berkuasa perlu meningkatkan usaha penyelenggaraan jalan raya secara berkala dan penguatkuasaan undang-undang secara lebih tegas.
“Pemilik dan pengusaha syarikat pengangkutan, jangan hanya mementingkan keuntungan, tetapi hendaklah bertanggungjawab mematuhi had muatan barangan yang dibenarkan.
“Pastikan jadual kerja pemandu tidak membebankan sehingga mereka tidak memiliki masa rehat yang cukup, melakukan ujian kesihatan berkala terhadap pemandu, serta memberhentikan perkhidmatan pemandu yang memiliki rekod kesalahan jalan raya tinggi,” tambahnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Nahas FRU: Pemilik syarikat lori kena waran tangkap gagal hadir mahkamah
Hantaran jelik nahas UPSI: Polis tunggu laporan perubatan guru