KUALA LUMPUR – Perintah Pemaparan Harga Ubat yang diperkenalkan kerajaan disifatkan sebagai langkah penting dalam meningkatkan ketelusan dan memperkukuhkan hak pengguna, sekali gus memberi ruang kepada mereka membuat pilihan ubat berdasarkan kemampuan kewangan masing-masing.
Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) Prof Amrahi Buang berkata, perintah itu juga mencerminkan komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat dalam usaha meningkatkan ketelusan sistem kesihatan negara.
“MPS melihat dasar ini sebagai inisiatif Kerajaan Madani dalam mendidik dan memperkasakan pengguna, khususnya berkaitan hak mereka untuk mengetahui harga ubat serta memilih tempat mendapatkan ubat tersebut sama ada di klinik atau farmasi.
“Ini satu langkah yang sangat positif kerana ia memberikan ruang kepada pengguna untuk membuat pilihan yang lebih bijak, mengikut kemampuan mereka yang akhirnya akan memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan.
“Selain itu, pelaksanaan dasar ini juga dapat meningkatkan kesedaran serta kecelikan pengguna tentang harga ubat,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Menjelaskan lanjut, Amrahi berkata operasi dan pengendalian farmasi komuniti telah diperincikan dalam Garis Panduan Penanda Aras Farmasi Komuniti, malah pemaparan harga ubat juga telah lama diamalkan bagi pelbagai jenis produk yang disenaraikan dalam perintah berkenaan.
Beliau berkata bagi rantaian farmasi besar, sederhana atau kecil, perkara ini bukan satu cabaran besar namun bagi farmasi komuniti persendirian yang lebih kecil mereka mungkin menghadapi sedikit kesukaran.
“Bagaimanapun, selepas diberi taklimat menerusi sesi libat urus dan dokumen Soalan Lazim (FAQ) yang jelas, pelaksanaan perintah ini boleh dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Amrahi berkata MPS juga telah mengadakan sesi dialog awam pada 27 April lepas untuk ahli farmasi persendirian mendapatkan pencerahan lanjut daripada Kementerian Kesihatan (KKM).
Sementara itu, mengulas peranan ahli farmasi komuniti dalam menjayakan pelaksanaan dasar tersebut, beliau menegaskan bahawa mereka perlu sentiasa memahami dan memenuhi keperluan hak pesakit.
“Sebagai pemberi perkhidmatan, farmasi komuniti sewajarnya tahu akan keperluan dan hak pesakit. Memenuhi keperluan, kehendak dan hak pesakit ini sebenarnya bertepatan dengan Kod Etika Ahli Farmasi 2018 dengan kesejahteraan pesakit atau pengguna sangat diutamakan,” katanya.
Selain itu, beliau turut menyifatkan langkah kerajaan memberikan tempoh tiga bulan bagi pelaksanaan perintah itu satu keputusan yang wajar dan ia memberi peluang kepada farmasi komuniti khususnya yang berskala kecil untuk memperbaiki operasi mereka dalam melaksanakan perintah ini.
“MPS juga dalam masa itu akan melaksanakan ‘countdown’ melalui saluran komunikasi kepada ahli-ahli sebagai peringatan mengenai penguatkuasaan perintah tersebut,” katanya. – BERNAMA