IPOH – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak mendakwa keterbukaan Pas untuk bekerjasama semula dengan UMNO kerana parti itu mula menyedari kesilapan besar menolak penyertaan dalam Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Ketuanya, Khairol Najib Hashim berkata, perubahan nada Pas itu memperlihatkan wajah politik yang tidak konsisten apabila parti itu pada masa lalu lantang menyerang dan memusuhi UMNO secara terbuka sama ada di pentas politik mahupun di media sosial.
“PAS kini menagih peluang yang dahulu mereka tolak mentah-mentah. Dahulu pelbagai tuduhan dilemparkan kepada UMNO, hari ini mereka mula mengintai semula ruang untuk bersama semula.
“Sekalipun berpakaian retorik penyatuan, rakyat tahu ini hanyalah percaturan politik ketika kuasa semakin menjauh,” katanya dalam satu kenyataan.
Khairol Najib berkata, Amanah sebaliknya kekal konsisten dalam memilih jalan kerjasama bersama dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara, dan bukannya atas sebab kecewa atau ditolak.
Beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Harapan (AMH) Perak yakin bahawa UMNO kini cukup matang dalam membuat penilaian bagi sebarang keputusan menjalinkan kerjasama politik.
“Biar rakyat menilai siapa yang jujur dalam pendirian, dan siapa yang terumbang-ambing mengikut cuaca politik semasa.
“Kami juga yakin bahawa UMNO hari ini sudah cukup matang untuk menilai siapa sahabat yang benar-benar setia dan berprinsip, dan siapa pula yang hanya hadir ketika lemah, lalu pergi apabila merasa kuat,” jelasnya.
Media pada Sabtu melaporkan, Pas bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti politik termasuk UMNO, selagi tidak bertentangan dengan dasar parti.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden dilaporkan berkata, parti itu boleh bekerjasama dengan UMNO sebagaimana hasrat yang dinyatakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini.
Afnan Hamimi berkata semua kemungkinan itu boleh berlaku kerana menyifatkan asas politik adalah kepada muafakat.
Pada Jumaat, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, partinya bersedoa untuk bekerjasama dengan UMNO kerana kedua-dua parti Melayu itu berkongsi asas ideologi yang sama. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pas boleh kerjasama dengan UMNO yang tidak mahu kepentingan kuasa