Pasangan asing kahwini warganegara layak mohon pas lawatan sosial tahunan – KDN

KUALA LUMPUR – Pasangan warga asing yang berkahwin secara sah dengan rakyat Malaysia boleh menetap dan bekerja di negara ini melalui ‘Pas Lawatan Sosial Pasangan’ kepada Warganegara (Social Visit Pass – Spouse to Citizen) yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pas tersebut sah untuk tempoh setahun dan boleh diperbaharui setiap tahun selagi perkahwinan kekal sah serta pasangan masih hidup bersama.

“Pasangan warga asing yang berkahwin dengan rakyat Malaysia layak memohon pas ini bagi membolehkan mereka menetap secara sah dan bekerja di Malaysia, tertakluk kepada kebenaran JIM,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Namun, jelas beliau, sekiranya pasangan berkenaan berpisah atau bercerai, kelayakan untuk memperbaharui pas tersebut akan terbatal secara automatik kerana individu berkenaan tidak lagi dikategorikan sebagai pasangan sah kepada warganegara.

“Dalam keadaan sebegitu, mereka boleh memohon ‘Pas Balu’ atau ‘Janda’ jika memenuhi kriteria yang ditetapkan, atau sebagai alternatif, mengemukakan permohonan Pas Residen, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa imigresen,” katanya.

Beliau menjawab soalan Dr. Mohammed Taufiq Johari (PH–Sungai Petani) yang meminta penjelasan mengenai proses dan syarat permohonan pas pasangan warganegara, termasuk situasi melibatkan pasangan bukan warganegara yang telah berpisah tetapi mempunyai anak berstatus warganegara Malaysia.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata Pas Residen merupakan pilihan yang lebih sesuai bagi pasangan asing yang mempunyai anak hasil perkahwinan dengan rakyat Malaysia kerana ia membolehkan mereka terus tinggal dan bekerja di Malaysia bagi menyara kehidupan keluarga.

“Pas Residen memberi kebenaran tinggal di Malaysia selama lima tahun dan boleh diperbaharui tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa. Pertimbangan pemberian pas ini dibuat dengan mengambil kira kebajikan serta kepentingan anak warganegara, supaya hak penjagaan dan kesejahteraan mereka terjamin,” katanya.

Beliau menambah, pemegang Pas Residen dibenarkan bekerja sama ada di sektor formal atau bekerja sendiri, selaras dengan pendekatan Kerajaan Madani yang menekankan nilai kemanusiaan dan kesejahteraan sosial. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI