TAPAH – Sepasang kembar perempuan berusia tiga tahun cedera dalam nahas membabitkan lori kontena muatan batu kapur dan kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 351.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan antara Sungkai ke Bidor, pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Tapah Superintenden Johari Yahya berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu sekitar jam 8 pagi.
“Siasatan awal mendapati lori kontena muatan batu kapur dan SUV berkenaan dalam perjalanan dari arah utara menghala ke Selatan.
“Bagaimanapun, tayar lori kontena terbabit pecah menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbabas masuk ke arah bertentangan serta terbalik di arah utara.
“SUV yang berhampiran tidak sempat mengelak lalu melanggar lori kontena itu dan terseret ke arah yang sama.
“Akibat kemalangan itu, dua kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang menaiki SUV cedera ringan.
“Pemandu lori kontena, pemandu dan seorang lagi penumpang SUV tidak mengalami sebarang kecederaan,“ katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Beliau berkata, kesemua lorong arah ke utara ditutup manakala hanya lorong kanan dibuka bagi arah ke selatan.
“Lorong arah utara kini ditutup sepenuhnya untuk kerja pembersihan dan pengalihan kenderaan terlibat kemalangan,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: