PATI guna helah sakit jantung elak dicekup JIM

KUALA LUMPUR – Berpura-pura mengadu sakit jantung dan bersembunyi di dalam almari, itu antara helah digunakan beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengelakkan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu operasi bersepadu dekat Brickfields, malam tadi.

Pengarah Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, pihaknya terpaksa membuka gari seorang PATI selepas mengadu sakit dada dan sesak nafas sebaik sahaja ditahan di sebuah apartment.

“Dia adalah antara 40 PATI yang ditahan berusia antara 3 hingga 61 tahun kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan termasuk pasport perjalanan tamat tempoh dan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini.

“Dari jumlah itu, seramai 25 warganegara India, Sri Lanka (10), Pakistan (2), Myamnar (2) dan seorang Bangladesh,” katanya selepas mengetuai operasi bersepadu JIM menggempur sebuah apartment di Brickfields, di sini, malam ini.

Operasi bersepadu itu yang bermula jam 12 tengah malam itu bagaimanapun berakhir jam 3 pagi tadi.

Wan Mohammed Saupee berkata, dalam operasi itu, seramai 122 warga asing telah diperiksa dan ia hasil risikan pihaknya selama dua minggu susulan aduan awam.

“Kesemua 40 PATI yang ditahan itu melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia dan kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih dari RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan sebatan tidak lebih dari enam kali sebatan,” katanya.

Selain itu katanya, ada PATI yang melakukan kesalahan tinggal di Malaysia setelah permit dibatalkan atau tamat tempoh dan kes disiasat mengikut Seksyen 15, Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang dari RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Katanya lagi, kesemua 40 PATI yang ditahan akan dihantar ke depoh Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI