PAU 2024: Keputusan di Nenggiri ‘signal’ baik – Saarani

IPOH – UMNO Perak akan memberi tumpuan kepada agenda menarik perhatian rakyat khususnya orang Melayu agar kembali memberi keyakinan kepada parti itu dalam perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024, yang bermula pada Rabu.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jurucakap parti negeri akan diberi tanggungjawab dalam membawa usul berkenaan dalam Perhimpunan Agung Sayap Wanita, Pemuda, Puteri dan PAU nanti.

“Perbahasan kita menjurus kepada bagaimana hendak kembali memberi keyakinan Orang Melayu, dan memberi kepercayaan dan harapan kepada UMNO, sebagai organisasi politik tertua untuk meneruskan kebajikan yang selama ini telah dilakukan.

“Jadi, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan salah satu daripada signal atau isyarat yang baik (untuk PAU 2024), kita tengok pula PRK DUN Mahkota di Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Pakej Kembara Mesra Muslim Sempena Tahun Melawat Perak 2024 di Restoran Mohd Chan Ipoh, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee; serta Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak Management Bhd, Nurmalis Musa.

Media sebelum ini melaporkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan agar Perhimpunan Agung parti itu diadakan pada 21 hingga 24 Ogos ini.

Dalam pada itu, Saarani turut ditanyakan tentang sama ada formula kemenangan di Nenggiri melalui kejayaan di semua pusat daerah mengundi (PDM) yang diberi tanggungjawab kepada jentera Perak sebelum ini akan dikekalkan di PRK DUN Mahkota atau sebaliknya.

Beliau memberitahu strategi kempen dan kemenangan akan dilakukan sebaik sahaja Mesyuarat MKT pada Khamis ini.

“(Selepas keputusan mesyuarat MKT nanti) dari situ baru kita tahu kita bertugas di (PDM) mana.

“Seperti yang selalu saya sebut ialah, dia ‘lain padang lain belalang’. Selepas di mana kita tahu tempat bertugas, baru kita akan tahu kaedah dan strategi yang sesuai untuk kita buat (kempen),” katanya lagi.

Pada PRK DUN Nenggiri, Barisan Nasional (BN) Perak diberi tanggungjawab menjaga tiga PDM termasuk dua PDM Orang Asli iaitu di Sungai Puian dan Pos Simpor.

Sementara satu lagi PDM di Sungai Asap iaitu di dalam kawasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).

Pada Sabtu lepas, calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menenangi kerusi pada PRK DUN Nenggiri.

Mohd Azmawi Fikri mendapat 9,091 undi dengan majoriti 3,352 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding atas tiket PAS, Mohd Rizwadi Ismail. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

PRK Nenggiri: BN Perak gerak jentera orang Asli bantu kempen

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI