KUALA LUMPUR – Kerajaan mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara untuk merobohkan rumah ibadat termasuk kuil yang dibina di kawasan bukan milik mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kedaulatan undang-undang negara ini perlu dihormati rakyat walaupun sedar keputusan itu bakal mengundang kontroversi.
Menurut beliau, isu rumah ibadat itu perlu diselesaikan secara baik dan tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara berhemah serta mengikut bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.
“Saya dengan ini mahu mengumumkan ketetapan kita tidak lagi mengizinkan yang (pembinaan rumah ibadat) tidak mengikut peraturan.
“Dan majlis bandaraya diberi keizinan untuk bertindak supaya bersihkan kawasan yang bukan hak kuil supaya selesai masalah ini dengan baik.
“Saya tahu mengundang kontroversi, sebab itu beritahu, kalau yang melampau sampai ada kempen nak merobohkan kuil, itu salah juga, ini negara hukum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara di Dewan Damar Sari di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang. – MalaysiaGazette


