IPOH – Sempena sambutan ulang tahun ke-118, Dewan Perniagaan dan Perindustrian China Perak (PCCCI) menganjurkan acara larian ‘PCCCI Legacy Run’ yang akan diadakan di Ipoh Padang pada 30 November depan.
Larian tersebut menampilkan dua kategori utama iaitu Larian Kompetitif 11.8 kilometer (KM) dan Larian Santai 5KM.
Kategori 11.8KM terbahagi kepada empat kumpulan, Lelaki dan Wanita Terbuka (18–39 tahun) serta Lelaki dan Wanita Veteran (40 tahun ke atas) manakala 5KM menampilkan kumpulan Junior (7–17 tahun) bagi menggalakkan penyertaan seisi keluarga.
Yang Dipertua PCCCI, Datuk Liew Chee Ming berkata, larian tersebut bukan sekadar acara riadah, malah merupakan penghormatan terhadap sejarah gemilang komuniti perniagaan Cina di Ipoh.
Beliau turut menyasarkan kira-kira 1,500 orang akan menyertai acara larian yang turut mempromosikan gaya hidup sihat serta menyemarakkan semangat komuniti setempat.
“Salah satu tarikan utama acara ini ialah laluan 5KM merentasi jalan-jalan bersejarah di Ipoh seperti Jalan Yau Tet Shin dan Jalan Foo Choo Choon, yang dinamakan sempena tokoh perintis komuniti perniagaan Cina di Perak.
“Papan tanda bergambar akan dipasang di laluan berkenaan bagi membolehkan peserta bergambar sambil menghayati warisan tempatan.
“Sebagai sebuah dewan perniagaan yang berusia lebih satu abad, PCCCI sentiasa komited dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial negeri.
“Acara ini bukan sahaja menyatukan masyarakat, tetapi juga memperingati perjuangan dan sumbangan generasi terdahulu dalam dunia perniagaan,” katanya di sini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Lim Ee Young menzahirkan ucapan terima kasih kepada sokongan padu daripada penaja dan masyarakat.
“Legacy Run ini melambangkan tradisi dan kemajuan, sebuah wadah untuk rakyat bersatu dan meraikan warisan kita secara sihat dan bermakna,” ujarnya.
Pendaftaran kini dibuka melalui laman web rasmi https://checkpointspot.asia/event/118LR25 dengan diskaun ‘early bird’ untuk 500 peserta pertama bagi semua kategori.
Yuran penyertaan untuk Larian Kompetitif 11.8KM ialah RM55 (early bird) dan RM65 (harga asal) manakala Larian Santai 5KM, yuran untuk Kategori Junior ialah RM35, manakala kategori lain RM39 (early bird) dan RM49 (harga asal).
Setiap peserta akan menerima T-shirt acara, medal penamat, nombor bib, sijil penyertaan digital, beg cenderahati, makanan ringan dan perlindungan insurans kemalangan peribadi.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman Facebook PCCCI di https://www.facebook.com/pccci.org.my , WhatsApp Sekretariat di talian 016-556 1366 atau e-mel ke pcccilegacyrun@gmail.com . – MG Perak
Artikel Berkaitan: