GEORGE TOWN – Dua siasatan berasingan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang dijalankan susulan nahas yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak semalam, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Jelas beliau, siasatan dari segi jenayah dikendalikan oleh pdrm, manakala audit teknikal dan keselamatan dilaksanakan oleh JPJ.
“Setakat ini, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengeluarkan surat tujuh sebab kepada syarikat bas terbabit bagi mendapatkan maklumat terperinci, termasuk data GPS yang boleh menentukan sama ada pemandu memandu laju ketika kejadian.
“Manakala siasatan JPJ pula, meliputi audit keselamatan ke atas syarikat pengendali serta latar belakang pemandu.
“Justeru, kita tidak mahu membuat sebarang kesimpulan awal sehingga hasil siasatan lengkap diperoleh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Cruise World Malaysia di sebuah hotel di Gurney di sini, hari ini.
Mengulas dakwaan penghadang jalan old school di lokasi kejadian, Anthony Loke menyatakan perkara tersebut terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan isu keselamatan jalan raya akan dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok.
“Ramai dakwa penghadang kita old school berbanding negara maju yang kini guna fiber, jadi saya akan bangkitkan perkara ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Kita perlu cari penyelesaian termasuk cadangan memasang lampu solar di kawasan gelap dan saya sendiri akan membuat lawatan ke lokasi kemalangan pada hari Khamis ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menegaskan semua kenderaan berat baharu diwajibkan memasang speed limiter, namun ada pengusaha yang memanipulasi peranti itu untuk lulus pemeriksaan.
“Kita dapati ada kes mereka pasang untuk lulus Puspakom, kemudian cabut balik. Kita akan kenakan peraturan lebih ketat.
“Manakala bagi pematuhan penggunaan tali pinggang keselamatan pula masih rendah, walaupun ia diwajibkan bagi bas yang dibina selepas tahun 2020.
“Namun, bagi insiden semalam, bas yang terlibat dalam nahas itu dibina pada 2013 dan tidak mempunyai tali pinggang,” katanya.
Semalam, negara dikejutkan dengan tragedi kemalangan membabitkan bas yang membawa pelajar UPSI terbabas dalam nahas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik, Perak
Tragedi menyayat hati itu meragut 15 nyawa pelajar UPSI, manakala 29 lagi cedera, menjadikan keseluruhan mangsa seramai 44 orang.
Daripada jumlah itu, 13 mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala dua lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila bas berkenaan melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan MPV jenis Perodua Alza sebelum hilang kawalan dan terbabas. – MalaysiaGazette