KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran lapan pegawai kanan berkuat kuasa 21 Julai ini.
Pertukaran itu melibatkan Ketua Polis Selangor, Komisioner Polis Datuk Hussein Omar Khan akan mengisi jawatan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman.
Turut terlibat, Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Polis Datuk Rusdi Mohd Isa yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman.
Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Kamaruzaman Abdullah berkata, pertukaran ini turut melibatkan Komisioner Polis Datuk Hamzah Ahmad akan mengambil alih jawatan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman, menggantikan tugasnya sebagai Ketua Polis Pulau Pinang sebelum ini.
Manakala, Komisioner Polis Datuk Fisol Salleh yang kini merupakan Ketua Polis Kedah, akan bertugas sebagai Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan/Operasi), di Bukit Aman.
Dalam pada itu, Deputi Komisioner Polis Gilberd Philip Layang pula memangku Komisioner Polis dan menjawat jawatan sebagai Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi, Bukit Aman.
Bagi jawatan Timbalan Pengarah (Teknikal/Operasi) di jabatan sama, SAC Redzuan Abd Hamid akan mengisinya dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis. Beliau sebelum ini merupakan Ketua Penolong Pengarah (Telekomunikasi dan Sistem Maklumat).
Turut terlibat dalam pertukaran ini ialah SAC Mohd Rozi Jidin, yang akan menjawat jawatan Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalulintas/Pengurusan Saman), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis.
Sementara itu, Asisten Komisioner Nordin Md Nor akan menggantikan jawatan Ketua Penolong Pengarah (Telekomunikasi dan Sistem Maklumat), Bahagian Teknikal/Operasi dengan memangku pangkat SAC. – MalaysiaGazette