Pegawai Imigresen antara empat individu dituduh seludup enam wanita Vietnam

TAIPING – Seorang pegawai Imigresen, bersama warga Thailand serta dua individu lain dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Taiping, pada Rabu atas pertuduhan menyeludup enam migran pada Mac lalu.

Tertuduh, Abdul Hadi Mat Din, 42, dan tiga individu bertindak sebagai ‘transporter’ atau pengangkut, Sukree Awang, 48, Teoh Boon Poh, 58, serta Chua Eng Keong, 47, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Taiping, Noor Ruwena Md. Nurdin.

Berdasarkan pertuduhan, keempat-empat tertuduh didakwa bagi mencapai niat bersama melakukan penyeludupan enam migran wanita warganegara Vietnam.

Mereka adalah, Cu Thi Diem Hang, Le Thi Truc Linh, Dang Thi Huynh Trang, Phan Thi Nhan, Pham Thi Truc Ly, dan Nguyen Ai Thi.

Pegawai Imigresen enam migran wanita Vietnam tertuduh mahkamah tinggi Taiping seludup menyeludup
Tertuduh, Abdul Hadi Mat Din, 42, Sukree Awang, 48, Teoh Boon Poh, 58, serta Chua Eng Keong, 47, membuat pengakuan tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Taiping, pada Rabu atas pertuduhan menyeludup enam migran pada Mac lalu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 03 JULAI 2024.

Kesalahan itu dilakukan di tempat letak kereta Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit dalam Daerah Pengkalan Hulu pada jam 11.26 pagi, 9 Mac lalu.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Ia memperuntukan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun, dan boleh dikenakan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin, sementara tertuduh Shukree diwakili peguam Muhamad Syah Azlan Abdullah, tertuduh Abdul Hadi dan Boon Poh pula masing-masing diwakili peguam Harpal Singh dan Eng Keong pula diwakili peguam Mohamad Hafiz Jalaludin.

Terdahulu, ketika prosiding berlangsung, Mohamad Nazreen memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dalam tempoh sebulan.

Namun, Harpal memohon agar tarikh berkenaan ditetapkan dalam tempoh dua minggu bagi mempercepatkan perbicaraan.

Mahkamah kemudian menetapkan 31 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Seludup 10 migran: Suami isteri berdepan penjara lima tahun

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI