KUALA LUMPUR – Seorang peguam hak asasi manusia menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) membatalkan segera keputusan yang membenarkan empat pelajar yang kini disiasat atas tuduhan rogol menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bulan depan.
Rajesh Nagarajan berkata, kementerian turut diminta mengeluarkan garis panduan yang jelas bagi melarang individu yang dikaitkan dengan jenayah seksual serius daripada menyertai sebarang aktiviti sekolah atau peperiksaan awam sehingga kes mereka diselesaikan.
“Terdapat pilihan lain yang lebih wajar termasuk menangguhkan peperiksaan atau menyediakan tempat khas di bawah pengawasan ketat bagi menyeimbangkan hak pendidikan dan tanggungjawab melindungi keselamatan awam.
“Malaysia tidak mahu mempunyai menteri yang menganggap keganasan berasaskan jantina sebagai isu pentadbiran semata-mata,” ujar beliau dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, keempat-empat pelajar itu yang disyaki terlibat dalam kejadian rogol bergilir-gilir di sebuah sekolah menengah di Melaka, tetap akan menduduki SPM yang dijadual bermula 3 November ini.
Rajesh berkata, keputusan kementerian disifatkan sebagai pengkhianatan terhadap kepercayaan awam serta kegagalan tanggungjawab moral.
Ujar beliau, ia merupakan isyarat berbahaya kepada masyarakat bahawa keganasan seksual boleh dipandang ringan atas alasan hak pendidikan.
Menurut Rajesh, keputusan tersebut bukan sahaja mengetepikan keselamatan awam dan kebajikan mangsa, malah mencemar nilai moral dalam sistem pendidikan negara.
“Tindakan membenarkan pelajar yang dituduh merogol menduduki peperiksaan seolah-olah tiada apa-apa berlaku.
“Ini menunjukkan bahawa kementerian lebih mengutamakan prosedur birokrasi berbanding tanggungjawab melindungi mangsa dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Menurut Rajesh, prinsip ‘belum bersalah sehingga dibuktikan bersalah’ tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengekalkan keistimewaan seperti pelajar lain, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kesalahan seksual serius.
“Tanggungjawab utama kementerian ialah memastikan sekolah kekal sebagai tempat yang selamat untuk belajar, bukannya lokasi jenayah berulang,” katanya.
Beliau menegaskan, keputusan itu menjejaskan keyakinan awam terhadap Kementerian Pendidikan dan memperlekehkan trauma mangsa yang telah menanggung penderitaan.
“Kementerian seolah-olah memberitahu semua mangsa serangan seksual bahawa kesakitan mereka tidak penting berbanding pentadbiran,” katanya. – MalaysiaGazette