Pejabat Pos Menglembu ditutup susulan pelaksanaan projek perintis ‘POC’

IPOH – Pejabat Pos Menglembu akan ditutup pada Disember susulan pelaksanaan projek perintis pembuktian konsep (POC) oleh Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) yang dijangka mula beroperasi pertengahan November ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Menglembu Chaw Kam Foon berkata, projek perintis ini bertujuan untuk menguji keberkesanan penggantian operasi pejabat pos dengan pengendalian ejen terlantik oleh Pos Malaysia.

Menurutnya, pihaknya telah menerima kunjungan hormat daripada pihak Pos Malaysia bagi memberikan penerangan jelas berhubung pelaksanaan projek serta penutupan pejabat pos berkenaan.

“Pos Malaysia akan melantik ejen untuk menyediakan perkhidmatan seperti kiriman surat biasa dan berdaftar, penjualan setem, penghantaran bungkusan serta pembayaran bil. Perkhidmatan ini adalah yang paling banyak digunakan rakyat dalam urusan harian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi pelaksanaan projek perintis POC Pos Malaysia dan penutupan Pejabat Pos Menglembu di Pusat Khidmat ADUN Menglembu di sini pada Selasa.

Pejabat Pos Menglembu ditutup susulan pelaksanaan projek perintis ‘POC’
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Menglembu, Chaw Kam Foon (tiga, kanan) ketika sidang media berkaitan isu pelaksanaan projek perintis (POC) Pos Malaysia dan penutupan Pejabat Pos Menglembu di Pusat Khidmat ADUN Menglembu, Ipoh, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 21 OKTOBER 2025.

Katanya, dua ejen akan dilantik di lokasi berbeza tetapi dalam lingkungan radius tidak melebihi 5 kilometer (km) dari pejabat pos sedia ada.

“Dua ejen ini telah ditetapkan, salah satunya di Bandar Baru Menglembu yang hanya berjarak 1.4 km dari pejabat pos sekarang  dan orang awam boleh berjalan kaki atau berbasikal untuk ke sana.

“Satu lagi ejen akan ditempatkan di Jalan Besar Menglembu yang terletak hanya 0.07 km dari lokasi pejabat pos sedia ada,” ujarnya.

Chaw berkata, beliau telah memaklumkan kepada pihak Pos Malaysia bahawa lokasi pejabat pos sedia ada sangat strategik kerana berhampiran Pasar Menglembu dan bank utama yang menjadi tumpuan orang ramai melakukan urusan.

“Biasanya orang ke pasar akan singgah ke pejabat pos untuk urusan kerana jaraknya sangat dekat. Ini antara keistimewaan lokasi tersebut.

“Orang awam sebelum ini bimbang jika pejabat pos ditutup mereka perlu ke Ipoh, tetapi selepas pembentangan oleh Pos Malaysia, saya dapati tiada perubahan besar malah ada kelebihan,” katanya.

Pejabat Pos Menglembu ditutup susulan pelaksanaan projek perintis ‘POC’
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Menglembu, Chaw Kam Foon ketika sidang media berkaitan isu pelaksanaan projek perintis (POC) Pos Malaysia dan penutupan Pejabat Pos Menglembu di Pusat Khidmat ADUN Menglembu, Ipoh, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 21 OKTOBER 2025.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan antara kelebihan yang dikenal pasti adalah pengurangan masalah kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan kerana lokasi pejabat pos sekarang terletak di lot sudut jalan dua hala yang sering dipenuhi kenderaan, termasuk bas dan lori.

“Dengan pelaksanaan projek ini, masalah parkir yang terhad juga dapat diatasi, selain memudahkan orang ramai berurusan,” katanya.

Tambahnya, pengaktifan ejen dijadualkan bermula 17 November manakala penutupan rasmi Pejabat Pos Menglembu pada 16 Disember ini.

“Ejen akan mengambil kakitangan bagi membantu operasi dan pada masa sama, Pos Malaysia akan menempatkan pegawai di sana untuk memudahkan urusan serta pemantauan,” jelasnya.

Ujar beliau, pelaksanaan projek itu akan dijalankan selama enam bulan bagi menilai keberkesanannya sebelum laporan kajian dikeluarkan pada Februari atau Mac 2026.

“Sekiranya projek ini tidak mencapai kejayaan yang diharapkan, Pos Malaysia akan melaksanakan pelan mitigasi dengan membuka Pos Mini di lokasi berkenaan bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan sejagat kepada rakyat,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Masih ada ruang perbaiki hubungan akar umbi Kerajaan Perpaduan

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI