Pejabat Sultan Perak lapor polis kenyataan berunsur perkauman

IPOH: Pejabat Sultan Perak, telah membuat laporan polis pada Khamis berhubung satu kenyataan berunsur perkauman tular atas nama Amanah Membina Negara yang mengaitkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata, dipercayai ada pihak ketika ini memilih mahu menghidupkan bara perkauman dan keagamaan hingga ke peringkat mengaitkan secara luar konteks titah yang dizahirkan oleh Sultan Nazrin pada 2005.

Menurut beliau, demi melindungi nama baik baginda daripada diheret dan dicemari oleh mana-mana pihak untuk memenuhi agenda tersurat dan tersirat mereka Pejabat Sultan Perak telah membuat laporan polis.

“Telah ditular atas nama Amanah Membina Negara kenyataan berunsur perkauman yang dikaitkan dengan konteks yang salah, petikan titah Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah, (19 tahun yang lalu), di Kongres Pendidikan Melayu Kedua, yang berlangsung pada 27 Mac 2005, bertempat di Berjaya Times Square, Hotel & Convention Centre Kuala Lumpur.

“Sepanjang titah Baginda tidak sama sekali mengait atau menzahirkan ungkitan terhadap mana-mana kaum di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Zahidi berkata, di dalam titah yang mengandungi 68 perenggan dan 5,748 patah perkataan itu, Sultan Nazrin menzahirkan kupasan terhadap faktor-faktor yang mempengaruhi kelemahan dan kekuatan bangsa Melayu.

Baginda turut bertitah pentingnya bangsa bersifat merdeka dan dimerdekakan jiwa dibebaskan minda diperkaya dengan nilai-nilai positif bebas mendaki puncak pengetahuan-bebas menyelami lautan ilmu serta dibina keyakinan bangsa.

“Baginda menegaskan agama, pemimpin, keluarga, masyarakat serta ilmu dan pendidikan mempunyai peranan kuat dalam budaya masyarakat Melayu

“Baginda juga memperingatkan agar bangsa perlu berwaspada supaya tidak terlalu cepat terperangkap dan begitu mudah mengulangi ungkapan ungkapan negatif yang merendahkan martabat,” katanya.

Katanya lagi, Sultan Perak turut bertitah, kanta penilaian yang dipilih akan mempengaruhi nilai yang diberikan kepada bangsa bila kekurangan begitu cepat ditafsirkan sebagai kelemahan, maka padi mula dikatakan lalang beras pula disangka pasir.

“Sedarlah! apabila sesuatu bangsa memilih untuk merendahkan bangsanya sendiri, akan terbukalah jendela yang memberanikan bangsa lain untuk menghinanya lalu bangsa akan dipandang fakir adat budayanya bakal tersingkir,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Zahidi berkata, Sultan Nazrin khuatir perbuatan tidak beretika mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman dengan mengaitkan secara luar konteks titah yang pernah baginda zahirkan atas nama Raja Muda Perak, sembilan belas tahun yang lalu, sebagai perbuatan menangguk di air keruh yang tidak bertanggungjawab, membawa kesan langsung yang boleh menjejaskan ketenteraman awam di negara kita

Ujar beliau, Sultan Perak telah disembah maklum oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kejadian melempar bom petrol ke dalam kedai serbaneka KK Mart Bidor Perak pada jam 5.35 pagi, pada Isnin.

“Baginda menyifatkan perbuatan permulaan yang berlaku ini merupakan petanda yang membimbangkan dan hendaklah diberikan perhatian serius melalui tindakan tegas agar api perkauman segera dibendung daripada merebak lebih luas

“Baginda mempercayai majoriti rakyat Malaysia, bersikap rasional, moderat dan mengutamakan hubungan harmoni dan keamanan.

“Baginda juga memberikan jaminan untuk memberikan naungan dan lindungan kepada setiap rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan menganut pelbagai agama, secara adil dan saksama agar dapat terus hidup dalam rukun dan damai, sama-sama membina dan membangunkan negara Malaysia yang aman lagi makmur,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Bahaya biarkan pemimpin berperangai saling mencela, saling menghina – Sultan Nazrin

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI