IPOH – Seorang pekebun yang melanggar anggota polis hingga parah di Jalan Chemor, Tanjung Rambutan pada Ahad lalu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Tertuduh, T Kuna, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan juru bahasa Mahkamah dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa Muhammad Dzulfaizi Dzulkafli, 34, dengan melanggar mangsa menggunakan sebuah kereta jenis Proton Iriz bernombor pendaftaran WB1209S.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan kebun ladang sawit, Jalan Chemor, Tanjung Rambutan sekitar jam 8 malam 4 Februari lalu.
Berikutan itu dia didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh 20 tahun dan denda atau sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin mencadangkan jumlah jaminan RM10,000 dikenakan terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon supaya jaminan dikurangkan memandangkan dia perlu menjaga ibu dan hanya memperoleh pendapatan RM1,500 setiap bulan.
Ainul Shahrin kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 26 Mac depan sebagai sebutan semula kes bagi laporan perubatan penuh mangsa dan lantikan peguam.
Terdahulu, MG Perak melaporkan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal patah tulang rusuk dan bahu selepas terlibat dalam kejadian langgar lari sewaktu menjalankan tugas rondaan cegah jenayah bermotosikal di Jalan Tanjung Rambutan – Chemor, Ahad lalu.
Polis kemudiannya berjaya menahan pasangan tunang berusia 34 tahun dan wanita berusia 35 tahun kurang 24 jam selepas kejadian itu.- MG Perak
Artikel Berkaitan:
Anggota polis cedera dilanggar dua kali ketika bertugas
Pasangan tunang dicekup kurang 24 jam selepas langgar polis