IPOH – Seorang pekerja ladang sawit terselamat daripada hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu melepas dan membebaskannya daripada dua tuduhan mengedar 77 kilogram dadah methamphetamin bernilai lebih RM6 juta lima tahun lalu.
Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu ke atas Leong Hoi Aw, 52, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.
Manakala, seorang lagi tertuduh, Liew Wan Wah, 45, yang juga seorang peniaga diperintah membela diri atas pertuduhan mengedar dadah sama, yang dijumpai di bahagian but belakang kereta jenis Bentley.
Dalam penghakimannya, Abdul Wahab berkata, tertuduh kedua, Hoi Aw hanya berperanan sebagai penumpang kereta mewah yang dipandu tertuduh pertama.
Beliau berkata, mahkamah mendapati tiada bukti menunjukkan Hoi Aw mempunyai kawalan serta akses kepada kunci kereta.
Selain itu, kata beliau, tiada bukti lelaki itu mengetahui kewujudan ruangan rahsia di bahagian but kereta yang menyimpan dadah methamphetamin seberat 74,477.8 gram, serta 3,267.0 gram dadah sama yang disimpan dekat bahagian simpanan tayar.
Menurut Abdul Wahab, mahkamah mendapati hanya Wan Wah yang mempunyai kawalan serta jagaan terhadap kereta Bentley terbabit, dengan rekod menunjukkan tertuduh adalah individu yang menyewa atau membayar untuk kenderaan itu.
“Melihat kepada jumlah dadah yang begitu banyak dan cara ia disembunyikan di dalam ruang but yang sudah diubah suai, adalah sukar untuk mahkamah menerima bahawa pemandu tidak mempunyai pengetahuan tentang kewujudan barang terbabit.
“Namun bagi OKT kedua, mahkamah mendapati peranannya adalah berbeza. kerana dia hanya seorang penumpang di bahagian belakang.
“Pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa OKT kedua mempunyai akses terus kepada bahagian but belakang kereta terbabit atau mempunyai pengetahuan tentang dadah yang disembunyikan itu,” kata Abdul Wahab.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamin seberat 77,744.8 gram di lokasi sebelum kaunter Plaza Tol Gopeng dalam daerah Kampar pada jam 7.30 malam, 23 Jun 2021.
Mereka juga dituduh mengedar dadah jenis sama seberat 3,267 gram di tempat letak kenderaan Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar pada jam 2 pagi keesokannya.
Kedua-duanya kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yasinnisa Begam Seeni Mohideen, sementara tertuduh diwakili peguam P. Ravee serta Charan Singh Kartal Singh.
Seramai 15 orang saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan bersumpah sepanjang kes dibicarakan.
Mahkamah menetapkan 14 dan 15 April sebagai tarikh pembelaan kes Wan Wah yang akan memberi keterangan bersumpah pada prosiding selanjutnya, di samping turut akan dikemukakan empat saksi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Reman peguam disyaki bersubahat seludup dadah di penjara dilanjut empat hari


