TELUK INTAN – Seorang pekerja lelaki warga Indonesia ditemukan meninggal dunia di sebuah kawasan ladang sawit di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, mangsa yang berusia 26 tahun ditemukan tidak sedarkan diri oleh penyelia ladang semasa melakukan rondaan rutin pada jam 8.30 pagi.
Katanya, mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di atas tanah dan tidak memberikan sebarang tindak balas sebelum penyelia bertindak membuat laporan berkenaan perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.
Ujar beliau, hasil pemeriksaan pihak polis menemukan mangsa berhampiran sebuah motosikal yang dipercayai digunakan olehnya untuk ke tempat kerja di samping mengalami kecederaan pada bahagian badan.
“Hasil pemeriksaan pihak forensik terdapat kecederaan dalaman di bahagian dada berhampiran tulang selangka mangsa.
“Turut ditemui di lokasi kejadian ialah sebilah sabit yang diikat pada batang besi panjang, yang dipercayai digunakan oleh mangsa semasa bekerja.
“Berdasarkan siasatan setakat ini, pihak polis percaya kejadian berlaku akibat kemalangan semasa mangsa bekerja.
“Peralatan yang dibawa dibawa dipercayai tersangkut pada dahan pokok sehingga menyebabkan sabit yang dibawa terkena kepada mangsa sehingga menyebabkan kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Bakri berkata, hasil siasatan setakat ini tiada sebarang unsur jenayah atau kecederaan mencurigakan lain yang ditemui pada badan mangsa.
Menurut beliau, mayat lelaki yang telah bekerja di ladang sawit itu selama dua tahun telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk proses bedah siasat.
Tambah Bakri lagi, pihak polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut atau ‘sudden death report’ (SDR).
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Hilir Perak atau berhubung melalui talian 056299222.
“Orang awam juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


