Pekerja warga Indonesia maut, lima cedera dalam insiden pokok besar tumbang

IPOH – Seorang maut manakala lima yang lain cedera dalam insiden pokok besar tumbang yang menghempap rumah pekerja warga Indonesia di kawasan tanah perkuburan Perpektual Memorial Park, Jalan Tanjung Rambutan, dekat Tambun, petang semalam.

Mangsa maut berusia 40 tahun manakala mereka yang cedera berumur antara 29 hingga 43 tahun malah seorang daripada mereka parah serta mengalami patah kaki.

Kesemua mangsa dipercayai pekerja di tanah perkuburan tersebut.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu sekitar jam 5.45 petang.

Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun dikejarkan ke lokasi serta  dibantu anggota dari BBP Sungai Siput.

“Ketika kejadian, keadaan cuaca hujan lebat dan angin kencang sehingga menyebabkan pokok besar tumbang itu menghempap rumah kayu yang didiami pekerja terbabit.

“Melalui maklumat awal yang diterima, terdapat tujuh mangsa terperangkap dan lima daripadanya dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, selepas operasi mencari dan menyelamat dijalankan, hanya enam orang mangsa sahaja berada di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, seorang mangsa yang terperangkap telah dikeluarkan pihak bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM.

Selain anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun, operasi turut dibantu anggota dari BBP Sungai Siput.

Operasi yang diketua Pegawai Bomba Tinggi II Saharuddin Abdul Ghani tamat jam pada 9.40 malam. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Bomba Perak siap sedia di empat plaza tol

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI