PASIR SALAK – Pelaksanaan subsidi bersasar oleh kerajaan tidak akan akan memberi kesan kepada pelaburan asing dalam negara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Menurut Tengku Zafrul, ini kerana pelabur asing melihat kepada konsistensi polisi yang ada dalam negara sebelum membuat sebarang keputusan untuk menjalankan perniagaan ataupun tidak.
“Dari segi pelaburan asing tidak ada kesan kerana mereka melabur dalam jangka masa panjang dan melihat kepada konsistensi polisi.
“Misalnya sektor semikonduktor yang bermula dari tahun 70an di mana sudah berusia 50 tahun dan itulah fokus pelabur kita untuk melihat bagaimana dasar dan polisi negara, jika konsisten mereka akan melabur,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas hadir Majlis Ihya’ Ramadan dan Iftar Perdana di pekarangan Masjid Jamek Al-Ansar di Bandar Baru FELCRA Seberang Perak, di sini, pada Ahad.
Turut hadir, Pengerusi Halal Development Corporation, Khairul Azwan Harun dan Pengerusi Felcra Education Services Sdn Bhd, Ramelle Ashram Ramli.
Mengulas lanjut Tengku Zafrul berkata, selain itu, kos pengoperasian syarikat asing di Malaysia juga masih lagi rendah berbanding negara-negara lain meskipun mereka tidak menerima sebarang subsidi.
“Kebanyakkan syarikat ini tidak memperoleh subsidi yang disebut secara berasar dan kerana itu walaupun subsidi ini ditarik ia tidak memberi kesan kepada mereka.
“Bagi syarikat-syarikat asig ini mereka akan membandingkan negara kita dengan negara lain dan Malaysia masih lagi efektif dari segi kos,” katanya.
Terdahulu media melaporkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata kerajaan akan mengumumkan pelaksanaan subsidi bersasar pada suku kedua ke atas 2024.
Kata Rafizi, ini kerana apabila melihat garis masa, kerajaan memerlukan suku pertama kira-kira empat ke lima bulan pertama untuk menyelesaikan sistem sokongan bantuan kepada orang ramai. -MG Perak
Artikel Berkaitan: