GERIK – Pelaksanaan Projek Hydro Life Extension Programme atau Pelanjutan Hayat Hidro (HLEP) yang melibatkan nilai pelaburan RM5.8 bilion oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di tiga stesen hidroelektrik bakal menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi setempat di Hulu Perak.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek yang melibatkan stesen hidroelektrik Temengor, Bersia dan Kenering itu dijangka akan merancakkan pembangunan di daerah berkenaan dan sekitarnya.
Katanya, pelaburan berskala besar itu turut akan menggerakkan keseluruhan ekosistem ekonomi setempat melalui penglibatan pelbagai pihak dalam rantaian pelaksanaan.

“Perkembangan ini akan menggerakkan pelbagai aktiviti ekonomi merangkumi kerja-kerja sivil dan elektromekanikal, logistik serta perkhidmatan tapak, di mana syarikat pembinaan tempatan, pembekal peralatan dan pengendali pengangkutan akan turut terlibat secara aktif.
“Projek ini juga akan mengubah landskap sosioekonomi setempat apabila aktiviti ekonomi menjadi lebih aktif dan tersusun. Pergerakan tenaga kerja serta keperluan operasi harian akan meningkatkan permintaan terhadap pelbagai perkhidmatan, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui teks ucapan Majlis Pecah Tanah Fasiliti Penempatan Berpusat Bagi Projek HLEP yang dibacakan Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin,.di Bandariang, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim; Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, serta Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), Datuk Shahrir Abdul Latiff.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin membacakan teks ucapan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Majlis Pecah Tanah Fasiliti Penempatan Berpusat Bagi Projek Projek Hydro Life Extension Programme (HLEP) di Bandariang, Gerik
Tambah Saarani, peluang pekerjaan yang diwujudkan melalui pelaksanaan projek HLEP turut membuka ruang kepada anak tempatan untuk terlibat dalam kerja-kerja teknikal dan sokongan operasi yang berkaitan.
Kata beliau, penglibatan itu memberi pendedahan awal kepada kemahiran praktikal yang diperlukan dalam sektor tenaga sekali gus menyokong pembangunan modal insan negeri.
Tambah beliau lagi, penglibatan kontraktor tempatan dalam rantaian nilai projek juga perlu terus diperkasa melalui peluang kerja subkontrak dan perkhidmatan sokongan bagi mengukuhkan keupayaan syarikat tempatan.
“HLEP dilaksanakan bagi menaik taraf turbin serta komponen utama janakuasa supaya dapat beroperasi dengan lebih cekap dan berdaya tahan.
“Dalam menjayakan usaha ini, kerajaan negeri melalui PKNPk turut memainkan peranan penting dengan menyediakan fasiliti sokongan termasuk pembangunan penempatan pekerja serta kemudahan operasi yang diperlukan.
“Penganugerahan tanah bagi pembangunan ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan projek berskala besar seperti ini dapat dilaksanakan secara terancang dan berkesan,” katanya.

Unit contoh bagi Fasiliti Penempatan Berpusat Bagi Projek Hydro Life Extension Programme (HLEP) di Bandariang, Gerik.
Dalam pada itu Saarani berkata, sistem hidroelektrik di Sungai Perak memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada grid tenaga nasional.
Kata beliau, bekalan tenaga yang stabil dan konsisten menjadi antara faktor yang menyokong kemasukan pelaburan, khususnya dalam sektor industri moden dan teknologi yang memerlukan sumber tenaga yang boleh dipercayai.
“Pendekatan ini selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi berasaskan kekuatan dalaman negeri serta pengurusan sumber yang berhemah,” jelasnya.
Fasiliti Penempatan Berpusat yang menjadi sebahagian daripada projek di bawah HLEP dibangunkan di atas tanah berkeluasan 1.86 hektar itu sebagai memberi kemudahan penginapan kepada tenaga kerja.
Dilengkapi dengan 24 unit blok penginapan dua tingkat dengan reka bentuk modular, ia dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


