TANJUNG MALIM – Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengharumkan nama institusi pendidikan itu apabila mencatat kejayaan cemerlang dalam Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran di beberapa negeri baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan UPSI memaklumkan, pelajar Ijazah Sarjana Muda (ISM) Tahfiz Al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan, Muhammad Haziq Jaafar, dinobatkan sebagai juara bagi kategori Hafazan 1 hingga 10 juzuk dan taranum pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Negeri Perak.
Turut mencipta kejayaan, Dina Hadfina Mohd Umarul Hisyam, pelajar dalam bidang sama, yang merangkul tempat pertama bagi kategori Hafazan 1 hingga 30 juzuk dan tafsir di Negeri Sembilan.
Selain itu, Nur Adleena Faizulnizan, pula berjaya meraih tempat ketiga dalam kategori Hafazan 1 hingga 30 juzuk dan tafsir di Perak, sementara Muhammad Aizat Firdaus Ismail memperoleh tempat ketiga bagi kategori Hafazan 1 hingga 20 juzuk di Selangor.
Kejayaan bukan hanya diraih oleh pelajar, malah alumni UPSI juga menunjukkan prestasi cemerlang dalam Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran.
Ummi Radhwa Mohd Zulkifli diumumkan sebagai juara Tilawah Perempuan dalam pertandingan di Johor, manakala Ratu Dangsari Basri meraih tempat ketiga bagi kategori yang sama di Selangor.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid Salimin, menyatakan rasa bangga atas semua pencapaian berkenaan.
Kata beliau, ia membuktikan UPSI bukan sekadar melahirkan tenaga pendidik berkualiti, tetapi juga individu unggul dalam bidang tilawah dan hafazan al-Quran.
Menurut Norkhalid, perkara berkenaan juga selaras dengan matlamat UPSI dalam memperkukuh budaya keilmuan Islam di peringkat universiti di samping membentuk generasi berilmu dan berakhlak tinggi.
“UPSI akan terus menyokong serta menyediakan platform terbaik bagi para pelajar untuk mengembangkan potensi mereka dalam pelbagai bidang, termasuk pengajian al-Quran dan tilawah.
“Keunggulan alumni kita dalam bidang ini adalah hasil pendidikan yang kukuh dan penerapan nilai-nilai Islam sepanjang tempoh pengajian mereka di UPSI. Kami akan terus berusaha memperkukuhkan lagi kecemerlangan ini,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: