Pelajar cemerlang STPM amal baca al-Quran, al-Mathurat

IPOH – Pelajar cemerlang STPM 2023 Amni Zafirah Shahril,20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Azlan Shah, Seri Iskandar, menjadikan rutin membaca al-Quran dan al-Mathurat sebelum memulakan aktiviti harian termasuk mengulangkaji pelajaran.

Anak ketiga daripada empat adik beradik ini berkata, dia juga turut mendirikan solat sunat dhuha setiap hari.

“Bagi saya semua ini rezeki yang datang dari ALLAH SWT. Sebagai manusia kita perlu sentiasa mendekatkan diri dengan ALLAH SWT.

“Selain hubungan kita dengan ALLAH SWT, hubungan dengan ibu bapa, guru dan rakan-rakan juga perlu dijaga,” katanya ketika kepada media selepas menghadiri Pengumuman Keputusan STPM 2022 Perak di Jabatan Pendidikan Negeri Perak, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Amni Zafirah berkata, dia akan memperuntukkan masa di dalam kelas dari jam 7.30 pagi hingga 2 petang diikuti jam 3 hingga 4.30 petang untuk kelas tambahan yang dilaksanakan pihak sekolah.

“Pada waktu malam, saya akan tidur lewat untuk mengulangkaji semula subjek yang dipelajari pada hari itu selama dua jam,” jelasnya.

Anak kepada pasangan Shahril Ahrasa, 57, dan Pairus Jamaludin, 54, menyimpan hasrat untuk menjadi pendidik seperti ibunya.

Dia yang mengambil Sains Sosial aliran agama pada peperiksaan STPM itu tidak menyangka akan mendapat keputusan cemerlang.

“Mungkin berkat doa ibu bapa dan keberkatan guru-guru, saya berjaya mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 hari ini.

“InsyaALLAH selepas ini saya akan menyambung pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang al-Quran dan sunnah,” ujarnya.

Pelajar cemerlang STPM amal baca al-Quran, al-Mathurat
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abdul Razak, Muhammad Iqhfaz Hasif Abdullah (tengah) bersama ibubapanya kelihatan gembira apabila mendapat purata nilai gred kebangsaan (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 pada Sidang Media Analisis Keputusan STPM 2023 di Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri Perak, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 23 JULAI 2024.

Sementara itu, seorang lagi pelajar cemerlang STPM 2023, Muhammad Iqhfaz Hasif Abdullah, 20, berkata, kejayaannya pada hari ini adalah hadiah kepada ibu dan bapanya yang banyak berkorban sehingga dia mampu capai ke tahap tersebut.

“Saya tahu sebagai pelajar, saya tidak mampu lagi membahagiakan ibu bapa dalam bentuk wang, jadi untuk keputusan cemerlang ini adalah cara saya untuk membanggakan ibu bapa,” katanya.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abdul Razak, Selekoh itu berkata, banyak cabaran yang perlu ditempuh sebelum dia berjaya memperoleh keputusan cemerlang pada hari ini.

“Saya banyak berhadapan dengan pelbagai cabaran antaranya kekangan masa, kekurangan teknologi kerana saya bukan datang dari keluarga yang senang dan persekitaran.

“Persekitaran saya kadang-kadang mengganggu konsistensi. Kadang-kadang kawan ajak main game. Itu cabaran saya untuk konsisten untuk belajar,” jelasnya.

Anak bongsu daripada tiga adik beradik ini yang bercita-cita untuk menjadi guru turut menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian sama ada di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) atau Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Amni Zafirah dan Muhammad Iqhfaz adalah antara 82 calon peperiksaan STPM 2023 yang meraih keputusan cemerlang PNGK 4.0 di Perak. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

3,012 calon STPM 2023 di Perak lulus penuh, PNGK 2.83

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI